Ad Code

Responsive Advertisement

Sara Si Ahli Syurga




Assalamualaikum dan salam sejahtera semua

Apa khabar semua rakan pembaca yang budiman? 
Wah, lama betul CikMa menyepikan diri.  

Alhamdulillah, manuskrip untuk buku pertama CikMa telahpun selesai ditulis. Sekarang sudah berada di tangan editor Oxford Fajar untuk diedit. Draf untuk kulit buku pun sudah siap, alhamdulillah. Buku dijangka akan terbit , paling cepat pada penghujung tahun ini. Terima kasih Allah.




Dalam tempoh senyap ni, dah berguni-guni gambar yang CiMa rakamkan. Setiap satu mempunyai cerita tersendiri. 

Ada yang sedih, ada yang gembira, ada yang lucu dan ada yang menggamit kenangan silam.

Insya-Allah, akan CikMa kongsikan apabila tiba masanya.

*****
4.9.2013

Telefon CikMa berbunyi seawal  4.50 pagi. Masih awal. Seingat CikMa, malam tadi CikMa kunci jam pukul 6 pagi. CikMa kelih sekali lagi. Ops. Bukan alarm, tapi panggilan. Tertera nama pakcik di skrin.


"Maria, anak Pak Bir , Sara dah takde." Suara Pakcik Bani,serak. CikMa bingkas bangun. Jantung berdebar. Sebak tiada tertahan.

Secepatnya CikMa bersiap dan membawa Mawaddah masuk dalam kereta. CikMa memecut ke rumah bonda, solat subuh di sana dan terus ke Hospital Ampang.

Nurina Qaisara, 3 tahun 2 bulan merupakan sepupu CikMa. Anak kepada Pakcik dan Makcik CikMa sebelah emak. Mereka mempunyai 5 orang anak termasuk sepasang kembar  berusia 3 bulan lebih, dan Sara merupakan anak kedua. 

"Bang. Botol susu kembar tertinggal dalam kereta." Mak Usu memberitahu. Ketika itu kami sudah 'panjat' tingkat dua di apartment kakak ipar CikMa.

Lelah memijak tangga belum habis, Pak Bir terus turun semula tanpa sebarang rungutan. Tidak pula dia menyuruh anaknya yang sulung , Abang Pan untuk mengambilnya. 

Begitulah selalunya, dia dengan sabar membantu mengangkat barang keluar dan masuk dalam kereta. 

Ketika beraya ke rumah CikMa, Mak Usu memandikan anaknya, seorang demi seorang kecuali Abang Pan ( 9 tahun sebaya Mawaddah). Mengah melihat situasinya mengurus anak-anak yang masih kecil, CikMa bertanya, "Mama, boleh ke nih? Larat mama buat semua? Tak pakai maid?"  

Sambil tersenyum, dia menjawab," Insya-Allah boleh, mi..." Tenang suaranya, sejuk rasa di dada. Ikhlas itu CikMa rasa hingga ke lubuk hati.

Sebelum pulang, di bonet kereta, Mak Usu membancuh susu bayinya satu demi satu. Pak Bir pula dengan sabar menunggu, menemani di sebelah sementara si sulung Abang Pan 'mengawal' keadaan dalam kereta. Begitulah yang selalu CikMa  lihat. Sabar sungguh kedua-dua  'mempelai' ini.

Diam-diam, CikMa rasa kagum dengan semangat Pak Bir dan Mak Usu dalam mengharungi kehidupan.





Sara muntah-muntah. Akhirnya, dia pergi mengadap Allah Maha Pencipta.

Tempoh 3 tahun 2 bulan, Allah  pinjamkan Sara kepada kedua ibu bapanya. Sabarnya mama dan abah melayan dan mengurus anak-anak, Allah ambil Sara dan jadikannya sebagai ahli syurga. Ahli syurga yang menanti ibu bapanya yang bertaqwa.

Allahu akbar.

Sewaktu menguruskan jenazah, segala-galanya berjalan lancar. Dari urusan pengesahan kematian sehinggalah ke tanah perkuburan.

Semua ahli keluarga, kenalan dan sahabat handai yang jauh mahupun yang dekat, serta jiran tetangga, berduyun-duyun datang mahu melihat Sara si ahli syurga.

"Bang, mari kita mandikan anak kita bang... Buat kali terakhir..." Mak Usu mengesat air mata. 

" Kakak, ni mama dengan abah mandikan kakak..."

Allahu akbar. 
CikMa yang turut sama memandikan jenazah rasa sebak. 

Comel wajahnya, seperti sedang tidur dengan nyenyak sekali.

Sebelum jam 12 tengah hari, semuanya selesai. 
Mudah sungguh laluan si ahli syurga.

CikMa merenung nasib diri. 
Ya Allah, ampuni dosa-dosaku...

Hari ini, genap sebulan pemergianmu.
Ummi rasa rindu. 
Namun, mengenangkan dikau aman di sana, hati jadi tenang.

Fi amaanillah, Sara....
Usah lupakan kami di sini... .





Kunjungan tiada terputus

Masa kita, bilakah?





Yang pergi tetap pergi. Kita di sini, mengumpul bakti, buat bekal ke sana.
Selagi nyawa di kandung badan, layanlah insan tersayang. 

Rengek, tawa, suka , duka, sama-sama kita suami isteri ambil kira. 
Sayangi, bercakap sopan dan saling menghargai sesama kita.
Sementara ada.

Salam takziah buat Mak Usu dan Pak Bir sekeluarga. Kuatkan hati , dan teruskan langkah untuk memegang amanah Allah yang berbaki.

Allahumma solli 'ala Muhammad.





Saya rasa:

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Allah CikMa. Tak tertahan air mata membaca entri ini. Anak sulung saya baru menginjak 3 tahun. Innalillahi wa inna ilaihi rojiun. Moga ibu bapa arwah sabar. Moga Allah berkati.

    BalasPadam
  2. Saya pernah berdepan situasi sama dan tempah tiket flight walk in balik Terengganu apabila mendapat khabar anak saudara kesayangan saya Yumni yang berusia 4 tahun kembali kerahmatullah kerana demam panas. Allahu Akbar. Sampai sekarang saya masih terkenangkan arwah....dia pastinya di jannah sana.

    BalasPadam

Ada nak komen?Tulis sini ek... :)

Close Menu