Selasa, 4 November 2014

SPM. Berdebar! CikMa @IKIM.fm



Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera buat semua

Peperiksaan SPM telahpun bermula semalam. Bukan sahaja murid, ibu bapa malah semua guru turut merasai debarannya.

SPM bukanlah segala-galanya, tetapi segalanya bermula dengan SPM.

Selepas 11 tahun berada di bangku sekolah,inilah tahun terakhir yang sangat bermakna buat seorang murid. 

Detik yang istimewa. Sangat istimewa.

Malam ini, CikMa akan ke udara IKIM.fm pada jam 10.15 malam insya-Allah untuk berkongsi topik Tips Menduduki SPM.

CikMa akan berada di konti bersama-sama Dj Faiz Hj Othman.

Jemput dengar , ya!






♥ Terima Kasih Kerana Sudi Singgah Sini ! Suka? Like tau ! ♥

Khamis, 18 September 2014

Kelahiran Sulung : Bateri Jantung Haiqal

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera buat semua
 Diam-diam ubi berisi
Tin kosong kelentung-kelentang
Blog ini tetap di sisi
Walaupun tuan rumah pengsan terlentang.

>.<

Salam rindu buat semua.

Apa khabar rakan pembaca sekalian? CikMa Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana masih diberi nyawa untuk mengumpul bekalan ke negeri abadi. CikMa berdoa semoga anda menjadi tetamu blog ini turut mendapat rahmat dan hidayah daripada Allah Ta'ala, gagah melangkah meneruskan kehidupan di dunia sementara ini.

Setelah setahun berlalu, pada pertengahan Ogos 2014 yang lalu, akhirnya lahirlah buku pertama CikMa , yang berjudul Bateri Jantung Haiqal :)
Alhamdulillah, terima kasih Allah.


Untuk pengetahuan kalian, CikMa menulis manuskrip BJH ini selama lima bulan. Lima bulan 'on off' begitu. Setelah melalui proses yang panjang, iaitu dari semakan oleh editor bertauliah, memasukkan 'artwork' yang bersesuaian, semakan pruf demi pruf, yang memakan tempoh setahun, akhirnya terbitlah Bateri Jantung Haiqal ini. 

Allahu akbar.

Rasa macam mimpi tau. 
Kepuasan dan kenikmatannya, sukar digambarkan dengan kata-kata!

Dalam buku BJH ini mengandungi tiga buah cerpen iaitu :  
Bateri Jantung Haiqal : Kisah seorang budak lelaki yang nakal, tetapi ingin berubah menjadi baik. Mampukah dia berubah?   
Hero Mama : Kisah seorang remaja yang terpaksa memikul tugas sebagai ketua keluarga sepeninggalan ayahnya ke luar negara. Menjaga dua orang adik lelaki yang banyak ragam, dan seorang ibu yang sedang sarat mengandung , berjayakah Arif menempuh segalanya? 
Kita Berbeza : Mengisahkan seorang remaja perempuan yang menghadapi masalah pembelajaran, yang melalui hari-hari penuh keperitan. Konflik seorang ibu yang mengambil berat tentang anaknya. 

Buku terbitan Oxford Fajar ini berharga RM15.90 dan sesuai dibaca oleh semua peringkat umur. 


Jika anda seorang pelajar, anda akan mendapat pengajaran yang banyak.
Jika anda seorang guru, telitilah ciri-ciri guru yang menjadi idaman murid.
Jika anda merupakan ibu bapa, belajarlah menerima hakikat yang pahit untuk menelan realiti yang penuh kemanisan.

Di kesempatan ini, CikMa ingin rakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada pihak Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) , Bahagian Pendidikan Islam (BPI ,KPM), pihak penerbit iaitu Oxford Fajar Sdn Bhd,  ahli keluarga dan sahabat handai seperjuangan yang telah memberi ruang, dorongan, galakan dan bimbingan untuk CikMa terus maju ke hadapan dalam bidang penulisan.


Kepada teman-teman yang sudah memiliki naskhah ini, jutaan terima kasih yang tidak terhingga CikMa ucapkan. Sokongan kalian,  hanya Allah Ta'ala sahaja yang layak membalasnya.

Jazakumullah khairan jaza'.






























Dapatkan naskhah anda hari ini! 
Membaca, membina budaya bangsa berjaya.




♥ Terima Kasih Kerana Sudi Singgah Sini ! Suka? Like tau ! ♥

Isnin, 12 Mei 2014

Apabila Suami Isteri Ber SMS...

 

Subhanallah
Alhamdulillah
Allahu Akbar 

Masya-Allah


 Lama betul CikMa 'membawa diri' kan? Tahun 2014 datang dengan pelbagai cerita dan peristiwa yang sarat, sehinggakan CikMa tak tahu di mana harus dimulakan.

Banyak perkara yang mendatang dan berubah, dan CikMa perlu  mengambil masa untuk menyesuaikan diri. Namun, Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Ta'ala kerana  masih dikurniakan umur dan rezeki serta kesihatan yang baik untuk terus mengharungi kehidupan.

Jom. Nak cerita ni.

Tanggal 17 April 2014 yang lalu, CikMa telah membawa anak-anak murid ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. 


Alhamdulillah tercapai hasrat CikMa nak buat lawatan sambil belajar ke Mahkamah Syariah.



Pertama kali masuk ke ruang perbicaraan, memang sesuatu yang mengujakan.
Malah, mendebarkan juga.

Kami berpeluang melihat sendiri perbicaraan yang berlangsung di dalam kamar perbicaraan. Disebabkan kami ramai ( 2 buah bas ), maka kami telah dibahagikan kepada 5 kumpulan. 


 Tatkala semua orang sedang duduk di dalam bilik yang sunyi sepi, orang yang dibicarakan akan berdiri sepanjang perbicaraan. Semua fokus tertumpah kepada perbicaraan dan orang-orang yang terlibat. Allahu akbar! Bayangkanlah hanya dengan berdiri di tengah-tengah ruang betapa diri sudah rasa cukup terhukum!



" Bilakah kamu bernikah?" Soal Yang Arif. 

Si suami tercongak-congak. 

"Masya-Allah, tarikh nikah pun kamu boleh lupa?" Sindir Yang Arif.

Lalu si suami , malu-malu, melangkah ke arah isteri yang setia berdiri di sebelah hujung, dan mengambil sijil nikah yang disimpan rapi dalam sampul surat besar.

" Adakah kamu menerima sms daripada suami?" Soal Yang Arif kepada si isteri pula. Orangnya masih muda, kecil molek dan baharu bernikah 4 tahun. 

"Ada, Yang Arif." 

"Bacakan apa yang dihantar kepada kamu." Arah Yang Arif.

Lalu si isteri membaca sms lafaz talak yang dihantar oleh si suami.

Soalan demi soalan diajukan kepada si isteri untuk memastikan pengesahan lafaz talak tersebut.

" Ketika menerima sms tersebut, kamu berada di mana?" Tanya Yang Arif.

"Di rumah."

"Suami?" Soal Yang Arif lagi.

"Di rumah." Jawab si isteri. Suaranya kedengaran separuh hati. Mungkin terluka dan sedih.

Yang Arif menggeleng-gelengkan kepala. Sambil memandang ke arah semua yang hadir, beliau bertazkirah.

" Teknologi hari ini, baik SMS, Whats App, Facebook, Twitter ada baiknya. Tapi, kalau dah duduk satu rumah pun masih nak ber sms, mana boleh. Lainlah kalau berjauhan."

" Yang Arif, saya balik rumah, dia tidur. Saya bangun, dia pula dah pergi kerja." Sela si suami, meluah perasaan.

"Sungguhpun sibuk dengan kerja, berlainan syif pula, suami isteri mesti cari ruang untuk bercakap-cakap, tak boleh main sms sepanjang masa. Nah, inilah padahnya kalau guna teknologi tak kena tempat. Tiada  komunikasi, tiada kemesraan." Sambung Yang Arif.

Kedua-dua yang dibicarakan diam membatu.

Allahu akbar. 
Itu baru satu kes.

" Apa yang kamu lafazkan?" Tanya Yang Arif dalam kes seterusnya.

"Aku ceraikan dikau dengan talak satu atau tiga." Kata si suami.

" Sebenarnya, kamu nak ceraikan talak satu atau talak tiga?" 

"Talak satu." 

"Dia bohong Yang Arif!" Sampuk si isteri penuh semangat.

Seisi hadirin agak terkejut. 

"Saya belum tanya kamu. Nanti saya tanya kamu, barulah kamu bercakap." Hakim memainkan peranan, mengawal keadaan.

Ketika tiba giliran si isteri di soal jawab, segala pekung di dada didedahkan.

"Yang Arif, saya dah bagitahu kat suami saya, solat, doa banyak-banyak kat Allah. Dia tidak pernah solat, Yang Arif." Sedih.

Si suami tunduk setunduk-tunduknya. Malu? Tentulah sekali. Perasaan kami di dalam kamar perbicaraan bercampur-baur. Antara simpati, berdebar dan entah apa-apa lagi.

"Dia balik rumah mabuk-mabuk Yang Arif." Si isteri terus sahaja meluahkan apa yang terbuku di dada.

" Fokus. Sila fokus kepada lafaz perceraian." Pintas Yang Arif. Agaknya kalau dibiarkan, mungkin sahaja semua tembelang pecah dan masa perbicaraan takkan habis 7 hari 7 malam.

Allahu akbar. Allahu akbar.
CikMa beristighfar di dalam hati.

" Ya Allah, berilah kebahagiaan dalam rumahtangga kami di dunia dan di akhirat. Percikkanlah kasih sayang-Mu buat kami sekeluarga," diam-diam CikMa berdoa di dalam hati.

"Ustazah, susah juga nak bercerai. Kena soal macam-macam!" Ulas Yasmin, anak murid CikMa yang comel.

"Yelah, macam mana susahnya nak kahwin, macam tu jugalah , bukan senang nak bercerai. Kalau dah berkahwin, kena ikut apa Allah suruh, Insya-Allah Allah jaga kita." Balas CikMa.

Lawatan setengah hari ke Mahkamah Syariah, benar-benar memberi makna yang mendalam diri CikMa. 

Kesetiaan, kesabaran, toleransi, tolak ansur, kasih sayang dan keikhlasan, indah sungguh apabila dinikmati dan dihayati.

Namun, kalau hati dah benci, semuanya di tolak ke tepi!
Nauzubillahi min zalik.

Ok. Jom kita tengok gambar.

Dalam Bilik Persidangan


Ketika sesi soal jawab


Barisan guru pengiring dan pegawai mahkamah





Ahli rombongan Jejak Syariah 2014






♥ Terima Kasih Kerana Sudi Singgah Sini ! Suka? Like tau ! ♥