Khamis, 18 September 2014

Kelahiran Sulung : Bateri Jantung Haiqal

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera buat semua
 Diam-diam ubi berisi
Tin kosong kelentung-kelentang
Blog ini tetap di sisi
Walaupun tuan rumah pengsan terlentang.

>.<

Salam rindu buat semua.

Apa khabar rakan pembaca sekalian? CikMa Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana masih diberi nyawa untuk mengumpul bekalan ke negeri abadi. CikMa berdoa semoga anda menjadi tetamu blog ini turut mendapat rahmat dan hidayah daripada Allah Ta'ala, gagah melangkah meneruskan kehidupan di dunia sementara ini.

Setelah setahun berlalu, pada pertengahan Ogos 2014 yang lalu, akhirnya lahirlah buku pertama CikMa , yang berjudul Bateri Jantung Haiqal :)
Alhamdulillah, terima kasih Allah.


Untuk pengetahuan kalian, CikMa menulis manuskrip BJH ini selama lima bulan. Lima bulan 'on off' begitu. Setelah melalui proses yang panjang, iaitu dari semakan oleh editor bertauliah, memasukkan 'artwork' yang bersesuaian, semakan pruf demi pruf, yang memakan tempoh setahun, akhirnya terbitlah Bateri Jantung Haiqal ini. 

Allahu akbar.

Rasa macam mimpi tau. 
Kepuasan dan kenikmatannya, sukar digambarkan dengan kata-kata!

Dalam buku BJH ini mengandungi tiga buah cerpen iaitu :  
Bateri Jantung Haiqal : Kisah seorang budak lelaki yang nakal, tetapi ingin berubah menjadi baik. Mampukah dia berubah?   
Hero Mama : Kisah seorang remaja yang terpaksa memikul tugas sebagai ketua keluarga sepeninggalan ayahnya ke luar negara. Menjaga dua orang adik lelaki yang banyak ragam, dan seorang ibu yang sedang sarat mengandung , berjayakah Arif menempuh segalanya? 
Kita Berbeza : Mengisahkan seorang remaja perempuan yang menghadapi masalah pembelajaran, yang melalui hari-hari penuh keperitan. Konflik seorang ibu yang mengambil berat tentang anaknya. 

Buku terbitan Oxford Fajar ini berharga RM15.90 dan sesuai dibaca oleh semua peringkat umur. 


Jika anda seorang pelajar, anda akan mendapat pengajaran yang banyak.
Jika anda seorang guru, telitilah ciri-ciri guru yang menjadi idaman murid.
Jika anda merupakan ibu bapa, belajarlah menerima hakikat yang pahit untuk menelan realiti yang penuh kemanisan.

Di kesempatan ini, CikMa ingin rakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada pihak Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) , Bahagian Pendidikan Islam (BPI ,KPM), pihak penerbit iaitu Oxford Fajar Sdn Bhd,  ahli keluarga dan sahabat handai seperjuangan yang telah memberi ruang, dorongan, galakan dan bimbingan untuk CikMa terus maju ke hadapan dalam bidang penulisan.


Kepada teman-teman yang sudah memiliki naskhah ini, jutaan terima kasih yang tidak terhingga CikMa ucapkan. Sokongan kalian,  hanya Allah Ta'ala sahaja yang layak membalasnya.

Jazakumullah khairan jaza'.






























Dapatkan naskhah anda hari ini! 
Membaca, membina budaya bangsa berjaya.




♥ Terima Kasih Kerana Sudi Singgah Sini ! Suka? Like tau ! ♥