Ahad, 20 Februari 2011

Maaf tanpa syarat...

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته.....
Salam sejahtera buat semua....

     Sembilan tahun lalu,  bermula sahaja aku bergelar seorang guru, semangatku berkobar-kobar.  Aku memang bercita-cita menjadi seorang guru. Nyatalah,  cita-citaku dalam genggaman. Amanah itu, aku kepal erat tak terlepas.


    
     "Kamu, Hassan, kenapa pakai selipar ke sekolah??" tanyaku sambil menjegilkan mata. "Kasut saya basah cikgu," jawab si Hassan selamba. "Kenapa  pula boleh basah?? Awak cuci lambat, mana nak kering?!" Marahku. "Rumah saya banjir, cikgu....tulah sebabnya kasut saya basah." "Ahh, alasan awaklah tu. Ada ke kat KL ni banjir-banjir?" Marah yang bersisa. Ketika itu, aku baharu sahaja bergelar seorang GURU. Aku belum menyelami erti menjadi seorang GURU secara zahir dan batin. Muda. Mentah.

     Pertengahan  tahun itu, aku memerlukan beberapa buah pinang yang gugur untuk  dijadikan ubat.Lantas, aku bertanya kepada murid-muridku, mana tahu di rumah mereka ada pokok pinang.Maklumlah di KL, ada yang senang dicari , ada juga yang sukar didapati. Lainlah di kampung, pokok pinang bersepah-sepah."Cikgu, di rumah saya ada sebatang," kata Hassan setelah aku melukis pokok pinang di papan putih  di hadapan kelas.

     Petang itu , aku bawa Hassan pulang ke rumah menaiki keretaku.Selalunya  dia hanya berjalan kaki sahaja ke sekolah. Rumah setinggan di Kampung India dekat dengan  Restoran Kari Kepala Ikan Kg. Pandan itulah dia sekeluarga berteduh.Selepas parking kereta, kami pun berjalan ke rumahnya. "Eh, Hassan, selalu ke lecak-lecak macam ni?" Soalku. "Biasalah cikgu, kalau hujan memang macam ni. Ini pun dah surut airnya cikgu,"balas Hassan sopan.Aku memijak papan-papan yang menjadi titi sementara itu berhati-hati. Takut juga kalau-kalau terjatuh. Aku lihat keliling rumahnya.Daif. Pelantar rumahnya masih berlecak dek  terkena sisa hujan.Aku tengok Hassan bersungguh-sungguh mencari buah pinang untuk aku. Dapatlah empat lima biji kubawa pulang.

     Hari itu, aku belajar sesuatu.Aku mula menyedari erti  menjadi seorang PENDIDIK.Aku mula mendidik diriku sendiri  supaya kenali latar belakang anak-anak murid sebelum bertindak apatah lagi menghukum.

     Sejak hari itu, jika  ada  murid yang berselipar ke sekolah , aku maafkan tanpa syarat.Kaki-kaki kecil itu menapak ke sekolah untuk menimba ilmu, maka biarkanlah.Usah letihkan diri mereka dengan bebelan yang merimaskan.Dan setiap kali ada murid yang berselipar ke sekolah, terbayang wajah Hassan, lecak dan pokok pinang di bingkai mataku.....
     
p/s: didikan tiada noktahnya...
    






♥ Terima Kasih Kerana Sudi Singgah Sini ! Suka? Like tau ! ♥

2 ulasan:

  1. ...menarik tulisan Cikmar selain boleh dijadikan tauladan..

    ..pak uda.. ;)

    BalasPadam
  2. walaupun pak uda dah pernah dengar cerita ini, masih baca juga... terima kasih.. atas sokongan yang jitu lagi padu... terima kasih banyak-banyak... ;)

    BalasPadam

Ada nak komen?Tulis sini ek... :)