السلام عليكم ورحمة الله وبركاته.....
Salam sejahtera buat semua.....
Tidak lama lagi, anak-anak kita akan menduduki peperiksaan Semester 1. Sudah tentu kita inginkan anak-anak mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan nanti. Namun, adakah kita sedar, adakalanya kita berangan-angan seorang diri. Dalam erti kata yang lain , kita menjadi ibu bapa yang 'syok sendiri'.
Sewaktu Hari Terbuka di sekolah, pada tahun-tahun yang lalu, telinga saya sudah lali mendengar leteran ibu bapa apabila melihat keputusan anak-anak mereka yang tidak memuaskan.
"Dia memang cikgu, main saja. Hari-hari main computer games di rumah. Kerja sekolah pun malas buat. Letih saya macam ni.."
"Saya dah agak dah , dia memang fail kali ni..."
"Ha, tengok, ayah dah kata, baca buku.Tapi kau degil... asyik keluar tiap-tiap malam. Balik dah penat, buku pun tak baca."
Itulah antara 'tazkirah pendek' yang selalu saya dengar. Lalu, anak-anak murid saya yang dileteri itu tersengih-sengih macam kerang busuk.
Rakan-rakan pembaca yang saya hormati,
Sebelum kita meleteri dan kecewa dengan keputusan peperiksaan anak-anak, marilah kita duduk sejenak dan berfikir: Apakah agaknya yang telah kita sediakan untuk anak itu sebelum menjelangnya hari peperiksaan ?
Kita mahukan anak-anak mendapat keputusan yang baik, tetapi malang sekali, kita biarkan dia bertatih seorang diri untuk 'berperang di medan juang'. Kita ini orang dewasa, tetapi semakin banyak ketidakadilan yang kita lakukan kepada anak-anak zuriat kita yang kecil- walaupun dia sudah remaja, dia tetap lebih muda dari kita dan sudah tentu akalnya lebih pendek dari kita.
Anak-anak memerlukan bimbingan yang berterusan |
Di kesempatan ini, saya ingin berkongsi Kaedah Berkongsi Impian (Share Your Dreams) dengan anda semua.Saya mendengarnya ketika ucapan perasmian Hari Anugerah Cemerlang di sekolah saya beberapa tahun lalu yang disampaikan oleh Tuan Jamaluddin B. Abdullah , Timbalan Pengarah Pelajaran Wilayah Bangsar & Pudu, Kuala Lumpur.
Kaedah Berkongsi Impian:
- Beritahu anak anda apakah yang anda mahukan.Contoh: Ayah mahu kakak dapat 5A dalam peperiksaan nanti.
- Tanya anak anda dan pastikan apakah yang dia perlukan. Contoh: Buku kerja tambahan, guru tuisyen dan sebagainya.
- Duduk di sebelahnya setiap kali dia sedang belajar di rumah.Bantu dia jika ada kemusykilan ketika dia menelaah pelajaran.
- Sediakan peralatan yang mencukupi contohnya pen, pensel , pemadam , pembaris dan kertas kajang.
- Lafazkan kata-kata pujian apabila dia melakukan apa-apa sahaja kebaikan. Contoh: Wah, pandai adik eja. Bagus, dah dapat 88%, tinggi markah ni. Kemas tulisan kamu, tentu senang pemeriksa nak baca.
- Ucapkan kata-kata semangat sebagai ransangan melengkapkan persiapannya dari segi fizikal dan mental.Contoh: Mama yakin Along boleh buat. Ummi doakan Angah boleh jawab semua soalan nanti.
Jika diperhatikan, rata-rata ibu bapa hanya melakukan perkara nombor 3 sahaja. Keperluan fizikal.Kalau kita hanya sediakan senapang dan pistol sahaja kepada tentera, adakah mencukupi?Tanpa latihan, kata-kata semangat mampukah tentera kita berjuang dengan cemerlang? Tepuk dada tanyalah minda!
Konklusinya, setiap insan ada impian. Impian yang dikongsi,dan mengorak langkah bersama-sama pasti akan menjadikan impian itu suatu realiti. Jadi, usah diamkan impian itu dalam benak anda seorang.Zahirkannya dengan perkataan dan perbuatan.Ayuh!Mulakan sekarang!
p/s:... don't dream alone....
0 Ulasan
Ada nak komen?Tulis sini ek... :)