Ad Code

Responsive Advertisement

Kisah Kasih Kucing....

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته...
Salam sejahtera buat semua...


Pagi ini , aku dan abangku membawa Miko ke Hospital Veterinar. Setelah mendapat suntikan vaksin sebanyak dua kali bulan lalu, hari ini Miko akan dibedah untuk tujuan pengkasian.

Miko yang manja bersama-sama Alona

Sementara menunggu giliran, kami berbual dengan seorang penggemar kucing yang sedang menunggu proses pengkasian kucing jantannya selesai.Sebelum ini , seekor kucing betinanya mati setelah dibedah. Dia berdoa semoga peristiwa yang sama tidak berulang kali ini.

"Tom, bangun Tom....nafas kuat sikit... Tom pandai...." Doktor Veterinar memberi semangat.Kerisauannya terselindung di sebalik topeng muka yang dipakai. Tom merupakan 'pesakit' yang ke 14 untuk hari ini.

Seorang pembantu doktor kelihatan cemas.Dia mengambil peralatan oksigen untuk membantu Tom bernafas.

Aku dan abangku saling berpandangan.Hanya kami berempat di dalam bilik bedah itu. Aku, abangku (bapa angkat Miko), doktor dan pembantunya. Lidah Tom yang terjelir tampak kebiruan. Miko menyorok di balik tong sampah yang ada di dalam bilik itu.Sangat ketakutan.Matanya membundar dan duduk diam-diam di situ tanpa bergerak walau seinci pun.

Sebelum itu, suhu badan Tom sudah tiga kali dipantau. Turun naik  suhunya.Tidak menentu. Mungkin ketakutan untuk dibedah.

Rasa risau menjengah tingkap hatiku. Cemas. Ya Allah, perlukah aku meneruskan pembedahan Miko hari ini??

Pemilik kucing yang bernama Tom itu bergegas masuk ke bilik bedah.Mendung anak matanya.Bercampur keresahan hati.

"Tom, bangun Tom... Mak datang ni... Mak ada ni.... Bangun Tom..." Rayunya.

Tom mula bernafas. Turun naik dadanya.Perlahan. Kemudian terhenti.

Kak Norhayati berterusan merayu. Mengalir air matanya bercucuran laksana titisan embun yang membasahi kelopak daun keladi.

"Tom, bangun Tom... nafas kuat sikit.... Lepas ni kita balik... nanti mak bagi makan , mak bagi  minum.... bangun Tom..." 

Naluri perempuanku tak tertahan lagi. Berlinang juga air mataku... Bagaikan berada di wad pediatrik serasanya. Episod ini seperti  kasih  antara ibu dan anak.

Air mata Kak Norhayati  mengalir lagi.Mengalir bersama doa yang kutitip dalam sungai hatiku . Moga Allah panjangkan umur Tom.

Sungguh, Dia yang Maha berkuasa!Tom terus bernafas walaupun  perlahan dan nampak payah. 'Emaknya' diminta terus menemani Tom sehingga dia kembali sedar dan stabil.

Hari ini... aku terasa hidupku makin berwarna-warni. Indah sungguh kasih sayang yang Allah ciptakan. 

Selepas keadaan stabil dan terkawal, aku melihat Kak Norhayati dan 'anaknya' keluar dari bilik pembedahan.Mata Tom dan 'emaknya' begitu bercahaya. Seolah-olah dunia ini terang dengan sinaran kasih sayang yang sukar diungkap dengan kata-kata!



Saya rasa:

Catat Ulasan

1 Ulasan

Ada nak komen?Tulis sini ek... :)

Close Menu