Jumaat, 31 Mei 2013

Dialah Suami ... .



Assalamualaikum dan salam sejahtera... .

Cuti sekolah ni, ke mana kita? 
CikMa minggu pertama ini, selesaikan tugas kerja. Hajatnya minggu hadapan baru nak cuti-cuti Malaysia. Insya-Allah.

Duduk-duduk depan laptop, baca-baca berita, cerita dan status teman-teman, CikMa terbaca satu tulisan, bunyinya begini:

"Seorang isteri boleh sediakan makan, jaga pakaian , jaga anak-anak, dan kemas rumah. Tetapi, seorang lelaki yang kuat (zahirnya) tidak mampu nak buat semua itu untuk isterinya."

Membantu isteri di dapur, sunnah Rasulullah SAW

Masya-Allah.

CikMa termenung  tiga saat. 
Tentu-tentulah ada sebab dan musababnya, kan?

" CikMa, akak masuk hospital, malam baru dia sampai. Satu hari sekali sahaja dia jenguk. Hari nak balik pun, dia minta orang lain yang jemputkan. Sampai anak akak cakap, ayah ni, sayang ke tak kat ibu?" Seorang teman berkongsi perasaan.

Sedaya-upaya, si ibu menjaga maruah suami di depan anak.
" Biarlah, ayah kan sibuk cari rezeki... . " Cuba berkata-kata. Walhal, perit ditelan, Allah sahaja maha tahu.

" Tapi, kalau ayah masuk hospital, ibu cepat-cepat pergi hospital jaga ayah. Siapkan semua apa yang ayah nak. Ibu tunggu di hospital sepanjang hari dan sepanjang malam. Ini tak adil. " Pandai pula si anak membidas , tidak puas hati.

Ibu, sekali lagi memberi kata-kata positif, untuk melegakan si anak, dalam masa yang sama, cuba melegakan hati sendiri. 



Suami prihatin, ubat yang paling mujarab buat isteri yang dalam kesakitan

Kasih sayang tetap sejati dan utuh, cuma, benar juga kata-kata manusia, kebanyakan suami  tidak pandai menunjukkan kasih sayang. 

Sebenarnya, menunjukkan ( bukan menunjuk-nunjuk) kasih sayang dalam keluarga, dapat mengeratkan hati dan mengukuhkan  ikatan suami isteri.

Apabila suami ada di sisi, isteri rasa kuat.
Apabila suami menyentuh, belaiannya bisa sahaja mengurangkan kesakitan.
Apabila dia bertanya khabar sepatah dua, serasa diri dihargai, makin terasa bermaknanya sebuah kehidupan.

Bukannya banyak yang dipinta.

  Sentuh.

Belai.

Sensitif. (peka dengan keadaan isteri)

Tanya khabar. 
Tak sempat call, sms sepatah. 

Itu sudah memadai. 

Kalau tak pandai, cuba-cubalah.
Buat sebelum terlambat.
Rumahtangga, ladang pahala.
Buat para isteri, ayuh berlapang dada.  Kita imbal balas, demi kerukunan ikatan yang terbina.

Usah mengharap penghargaan manusia, kerana penghargaan Allah, lebih hebat daripada seisi dunia!


Sabda Nabi SAW: Sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik, kasih dan lemah lembut terhadap isterinya.
 Wallahu a'lam.

♥ Terima Kasih Kerana Sudi Singgah Sini ! Suka? Like tau ! ♥

Khamis, 16 Mei 2013

Hari Guru ~ Hadiah dan Hati

 
 
Selamat Hari Guru kepada CikMa... dan sidang rakan pembaca yang bergelar guru. 
 

Saban tahun, hari guru disambut meriah. Bertuah guru, dapat hadiah setiap tahun.  :)

Sempena hari ini, CikMa nak cerita tentang hadiah dan hati.

~~~~~~~~

Dia hanya memandang. Teman-teman lain masing-masing membawa hadiah untuk cikgu. Hadiah yang dibalut dengan dengan kertas berwarna-warni, membuat  hatinya gundah.

Dia diam sahaja, memerhati sekeliling. Semalam, dia sudah beritahu kepada ibu. Esok ada sambutan hari guru di sekolah. Ibu diam sahaja. Mungkin tidak faham maksud hati atau buat-buat tidak faham.

Di tangan, dia tidak punya wang.

Dia cari jalan. Esok, tetap mahu bawa hadiah ke sekolah, untuk ustazah. Ustazah seorang. Satu pun, jadilah. Bisik hatinya.

Ketika Pengetua  sedang berucap, teman-teman berwajah ceria. Dia menunduk, membelek-belek isi beg di atas riba.  Bolehkah diberi kepada ustazah?
 Dia tidak ada jawapan.

"Ustazah, Selamat Hari Guru. Terima kasih ustazah." Dia menghulurkan hadiah kepada CikMa.  Senyum yang kelat, tapi tulus.
 
CikMa tahu dia susah, namun, tetap sahaja mahu memberi hadiah. CikMa  senyum, sambut dengan rasa terharu. 
 

Balik rumah , CikMa buka hadiah satu persatu. Macam-macam yang CikMa terima. Ada yang beri brooch, pen, marker, set pencuci muka berjenama, lipstik :) , tudung dan macam-macam lagi. Alhamdulillah.

Yang  satu itu CikMa buka juga. 
Pembalut hadiah yang telah diguna pakai, kotak yang lembik, dan sebiji cawan yang agak lama,   seperti sudah digunakan. Wallahu a'lam.

Hati CikMa sebak. Sangat sebak. CikMa menangis.

Hadiah cawan itulah yang paling mahal dan bermakna buat CikMa. Sehingga kini, CikMa simpan baik-baik.

Masa berlalu. Dia selalu di hati CikMa. Doa CikMa mengiringi langkahnya. Duit raya untuknya, dan hadiah untuk si ibu sempena Ramadhan dan  Syawal, setiap tahun CikMa tidak lupa. 
 
Dia telah melalui PMR, sungguhpun anak yatim dan miskin, keputusannya cemerlang. 

Tahun ini, dia akan menduduki SPM. Doa CikMa, masih untuknya. 

Doa yang baik, untuk anak murid yang baik. 



♥ Terima Kasih Kerana Sudi Singgah Sini ! Suka? Like tau ! ♥

Jumaat, 3 Mei 2013

Buka Akaun Kedua ?

 
 
Biarpun semua orang sibuk bercerita tentang PRU13, CikMa tetap nak cerita tentang anak-anak murid CikMa.  Maklumlah, semua anak-anak muridku, buah hatiku katakan... :)
 
Alkisah selama ini, CikMa 'confirm' sahaja anak-anak murid, kawan-kawan, saudara-mara dalam akaun FB yang sama. Ternyata, apabila berpindah ke sekolah baharu, yang berbeza gender dengan sekolah lama, CikMa memilih untuk buka akaun FB kedua, atas pandangan dan nasihat teman-teman.

Dulu CikMa pernah menulis tentang akaun FB ni. Boleh baca di sini.
 
Mulanya, tak kuasa juga nak buka akaun kedua, namun, apabila anak-anak murid asyik bertanya, CikMa tiada pilihan. CikMa tiada medan sosial yang lain selain facebook dan blog. Setakat ini, what's app, we chat, twitter dan macam-macam lagi, belum dirasakan perlu. 
 
Apabila CikMa mengumumkan 'berita gumbira' itu kepada anak-anak murid, mereka bersorak gembira. Lucu apabila CikMa baca status ini:
 
 
 

Apabila CikMa login, berderet anak-anak murid 'add' CikMa. :) 
Zaman sekarang...begitulah ... .



Kalau akaun pertama ramai kaum adam , sebab dulu anak-anak murid semua lelaki. Tapi kali ini, akaun kedua, semua perempuan nampaknya. Alhamdulillah...

Selain bertujuan untuk berkenal rapat dengan anak murid, CikMa juga berharap dapat membimbing mereka 'di luar waktu pejabat.'  Maklumlah , kat sekolah jumpa sekejap-sekejap...

Wahai anak-anak murid ustazah, baik di sekolah lama dan sekolah sekarang,ustazah sayang kamu semua tau!

Semua kena jadi baik ok!


♥ Terima Kasih Kerana Sudi Singgah Sini ! Suka? Like tau ! ♥