Ad Code

Responsive Advertisement

Mari Mengira

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته....
Salam sejahtera buat semua....

Dalam sebulan lagi, umurku akan mencecah 33 tahun. Sebagai seorang wanita biasa, dalam usia begini, aku  panjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT atas semua nikmat-Nya. Apa tidaknya, kini, aku sudah bergelar seorang isteri,sementelah ada lagi rakan-rakanku yang masih membujang. 

Aku  mempunyai seorang suami, di kala ada teman-temanku yang telah kematian suaminya mahupun yang telah berpisah.

Aku sudah melahirkan seorang anak,di waktu ada teman yang membilang hari menunggu bilakah saatnya doa memiliki zuriat keturunan Allah kabulkan. 

Keluargaku bahagia, di kala ada rumahtangga sahabat-sahabatku berantakan.

Aku ada sebuah kereta, ketika ada temanku berasak-asak menaiki   kenderaan awam dengan penumpang lain.

Aku ada sebuah rumah , sedangkan masih ada teman-teman yang menyewa di mana-mana.

Malah aku sangat bersyukur kerana telah menjadi seorang guru  ketika ada sahabat lain yang lelah mengisi borang temuduga.

Alhamdulillah ya Allah.... syukurku meresap ke dalam sanubari.
Namun, dalam usia begini, aku mengira-ngira.... Syukurku itu berbaloikah jika hanya ucapan Alhamdulillah dilafazkan? Aku mahu berusaha lebih lagi untuk menjadi hamba yang bersyukur.

Tapi bagaimana?? Ah! Melalui solat. Solat itu tiang agama. Hubungan terus antara hamba dengan Al-Khaliq.

Aku terus mengira.

Subuh    : 2 rakaat.
Zohor     : 4 rakaat. 
Asar       : 4 rakaat 
Maghrib : 3 rakaat
Isya'       : 4 rakaat
Jumlah   : 17 rakaat

Hanya 17 rakaat yang kutegakkan dalam usia ini?! Malang sungguh diriku. Semua keperluan dunia sudah kupenuhi, namun, tuntutan jiwa hamba , belum aku lengkapi.

Aku berkira-kira lagi.

Sunat sebelum subuh                         : 2 rakaat
Sunat sebelum dan sesudah Zohor : 4 rakaat
Sunat sebelum Asar                           : 2 rakaat
Sunat selepas Maghrib                      : 2 rakaat
Sunat sebelum dan sesudah Isya'    : 4 rakaat
Jumlah                                                   : 14 rakaat

Jika ditambah yang wajib dan sunat baharu mencecah 31 rakaat.
Aku tambah lagi . Sunat Dhuha, 2 rakaat. Nah, genap sahaja 33 rakaat. Sama bilangan dengan umurku nanti. (Jika Allah panjangkan usia)

Aku diam sejenak. Angka-angka itu mudah benar kutitipkan  di sini. Namun , hakikatnya , apakah mudah pula kulaksanakan dengan perbuatan??Aku jadi malu. Malu dengan Allah yang menciptakan diriku.

Ya Allah, sesungguhnya bilangan rakaat itu bagi-Mu tiada nilaiannya  jika dibanding dengan nikmat-nikmat -Mu kepadaku.Aku mohon Ya Allah, apa jua pekerjaan yang baik-baik yang aku lakukan, Kau jadikanlah ia sebagai ibadahku sebagai seorang hamba, semoga laluan hidupku ini sentiasa di bawah payung rahmat-Mu.....Amin ya rabbal 'alamin...

p/s: ... tak mampu lakukan semua, jangan pula tinggalkan semua






Saya rasa:

Catat Ulasan

0 Ulasan

Close Menu