Ad Code

Responsive Advertisement

Kisah Hari Guru 1

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته....
Salam sejahtera buat semua....

Hari Guru akan muncul tidak lama lagi. Apabila aku menyambut Hari Guru saban tahun, banyak kenangan yang kusimpan. Ada yang mencuit hati, ada yang menggembirakan hati tak kurang juga ada yang membuat dadaku sebak.

"Syafiq, boleh tak awak duduk salin latihan ni diam-diam?"Aku menegur murid Tingkatan Satu itu.


"Ustazah, dia pun berjalan jugak,"jawab Syafiq. Aku menarik nafas dalam-dalam.

"Syafiq, jangan bising!" Aku mula nak menyinga apabila Syafiq selalu melakukan yang tidak-tidak sewaktu aku mengajar.

"Ustazah, dia pun bising jugak."Syafiq memuncung sambil menunjukkan aku murid lain yang bising.Tak mahu mengalah.

Pap! Satu rotan hinggap di punggungnya.

Dia minta maaf sambil menepuk-nepuk punggungnya yang kurotan itu.

Begitulah yang sering terjadi apabila aku mengajar Syafiq. Dia seorang murid yang lasak, sering juga mengusik kawan-kawan sekelasnya terutama yang agak 'lembut'.

Esoknya, kami akan menyambut Hari Guru  sebelum cuti semester  satu tahun 2003 bermula.Semua pelajar sesi petang akan datang ke sekolah pada waktu pagi kerana sesi persekolahan akan diadakan sebelah pagi sahaja.

Pada Hari Guru tahun itu, aku tidak berharapan  tinggi untuk mendapat hadiah memandangkan aku guru baharu .Lebih-lebih lagi muridku semuanya lelaki. Kalau murid perempuan, mungkin meriah juga.

Tiba-tiba, Syafiq menyapaku. "Ustazah,ni untuk ustazah." 
Dia menghulurkan kepadaku sekuntum bunga ros merah yang segar sambil tersengih.

Bunga ros merah yang bisa mengubah hati seseorang

Aku terkejut. Semalam baru sahaja aku merotannya.

"Terima kasih , Syafiq." Dia menyengih lagi sedang aku lihat hatinya merah dan segar  seperti ros merah yang dihulurkan.

Sehari itu, aku  berkira-kira , bilakah masanya dia pergi membeli bunga? Semalam balik sekolah jam 6.45 petang dan hari ini persekolahan awal pagi.

Kenapa dia beri bunga itu, sedangkan akulah yang selalu merotan dan memarahinya?!

Aku berteka-teki sendiri.

Diam-diam aku amat menghargai pemberiannya itu dengan sepenuh jiwa ragaku.Susah payah dia mendapatkan bunga itu dan memberikan pula kepadaku.Sebak!

Sesi persekolahan semester kedua, aku masuk ke kelas Syafiq dengan watak baharu. Aku tidak lagi memarahi dia sebaliknya aku tukar gaya dengan puji-pujian.

Keajaiban berlaku. Syafiq tidak lagi nakal seperti dahulu. Malah lebih beradab sopan dan semakin disenangi oleh guru-guru lain. Dia dilantik menjadi pengawas. Kenakalan berubah menjadi kehebatan. Hebat tingkahlaku dan hebat peribadi.

Kini , Syafiq  sedang melanjutkan pengajiannya di sebuah IPT di Kuala Lumpur. Apabila bertemu denganku di mana-mana, dia masih menyapaku dan tetap menyengih mendengar nasihatku . Hatinya masih merah dan segar seperti ros merah yang kuterima enam tahun lalu.

Ustazah doakan semoga Syafiq menjadi insan yang berguna, sejahtera dan bahagia di dunia dan di akhirat!Amin....

p/s: .... ikhlas itu lebih mahal daripada emas....






Saya rasa:

Catat Ulasan

0 Ulasan

Close Menu