السلام عليكم ورحمة الله وبركاته......
Salam Sejahtera buat semua...
"Kenapa dengan dia tu? Semalam okay aje?" Tanya Salmah.
"Entah, tiba-tiba hari ni nak marah-marah. Bergaduh dengan suami kot?" Salwa mencelah.
Pernahkah anda melalui situasi ini? Majikan atau kenalan anda yang biasanya profesional di tempat kerja tiba-tiba berubah emosi.Marah tak tentu fasal. Tentu kita tidak suka apabila berhadapan dengan keadaan sebegini, bukan??
Semua orang mempunyai masalah , cuma bezanya kecil atau besar, ringan atau berat sesuatu masalah itu. Dan bagaimana pula masalah itu ditangani.
Saya teringat pesanan seorang pensyarah ketika saya mengambil KPLI di Maktab Perguruan Islam Bangi pada tahun 2002.
"Apa jua masalah di rumah yang kamu hadapi,sebaik sahaja sampai di sekolah (tempat kerja) sila sangkutkannya di pagar sekolah.Bila nak balik, baru ambil semula."
Menyangkut 'beg masalah' dapat mengelakkan timbulnya masalah baharu |
Apabila saya mula mengajar pada tahun 2003, pesannya itu terus saya amalkan sehinggalah hari ini. Jika ada teman-teman yang nampak saya bermasalah di tempat kerja, percayalah, ketika itu saya memang bermasalah dengan kerja. Kerana apa? Saya sudah mahir dan pakar mengasingkan antara masalah peribadi dengan masalah kerja.(setelah sekian lama berlatih ilmu ini)
Tidak dinafikan, sebagai manusia biasa setiap hari kita berhadapan dengan masalah. Masalah itu, masalah ini, macam-macam masalah. Namun, apabila kita belajar untuk mengasingkan masalah , percayalah, masalah baharu tidak akan timbul.
Sebagai contoh, seorang guru mempunyai masalah pembantu rumah yang lari. Dalam keadaan yang kelam -kabut itu, dia terpaksa menguruskan hal-hal yang sepatutnya terurus dengan bantuan si pembantu rumah tadi. Apabila sampai di sekolah, guru kepenatan, kebuntuan.Di dalam kelas, murid bising. Malah ada pula murid yang tidak menyiapkan kerja rumah yang diberi. Guru yang sudah awal-awal lagi terlupa menyangkut permasalahan rumahtangganya tadi tentulah naik angin. Dirotannya murid itu sehingga berbirat lengannya.
Tentu kalian dapat mengagak apa pula masalah lain yang akan timbul gara-gara guru terlupa menyangkut masalahnya di pagar sekolah.
Jadi, sama ada anda seorang bos, atau seorang guru, atau anda seorang peniaga, atau pegawai , atau peguam , walau siapapun anda,cuba-cubalah sangkutkan masalah peribadi anda di pagar tempat anda bekerja. Jadikanlah waktu bekerja sebagai ibadah, semoga diri anda akan lebih tenang dan dapat berfikiran rasional lagi waras di tempat kerja.
p/s: ....manusia= masalah.... pandai-pandailah menguruskannya, ok.....
0 Ulasan
Ada nak komen?Tulis sini ek... :)