Ad Code

Responsive Advertisement

Cara Menerapkan Budaya Cintakan Ilmu

السلا م عليكم ورحمة الله وبركاته....
Salam sejahtera buat semua...

Adakah anak anda suka membaca?
Bagaimanakah hendak menyemai semangat cintakan buku dan ilmu ke dalam jiwa anak-anak?

Di kesempatan ini, saya ingin berkongsi cara bagaimana saya menerapkan cintakan buku dan ilmu kepada anakanda saya yang seorang itu. Setelah mencuba dalam tempoh enam bulan, hasilnya amat menyenangkan.Saya amat berterima kasih  kepada Dr. Roslan ,pensyarah dari UPM kerana ceramahnya 5 tahun lalu benar-benar menyuntik idea dan motivasi kepada diri saya.


Antara isi ceramahnya yang saya cuba lakukan ialah:

1. Apabila pergi ke pusat beli-belah atau ke mana-mana sahaja yang ada kedai buku, pastikan anda berhenti sebentar. Beleklah sebuah dua buku yang ada di situ.Jadikan berhenti  dan membelek buku sebagai amalan walaupun pada hakikatnya anda tidak mahu  membeli buku ketika itu,malah otak anda hanya terfikir barang-barang keperluan rumah/dapur yang bakal dipenuhkan ke dalam troli,  . Anak-anak turut terikut dengan cara anda. Lalu terpotretlah dalam minda anak-anak bahawasanya ibu dan ayah mereka  suka akan buku.

2. Sebelum keluar rumah, buat syarat dengan anak-anak . Mereka hanya boleh beli  buku sahaja. Mainan dan jajan tidak akan dilayan.Mahu tidak mahu, anak-anak akan terpaksa juga beli buku (kerana biasanya mereka mesti nak cukai kita)  walaupun sebenarnya mereka mahukan  barangan yang lain.Lama-kelamaan, mereka akan terlatih untuk memilih buku kesukaan yang menarik minat mereka untuk membaca.

3. Layan anak apabila mereka bertanya bagaimana hendak menyebut sesuatu perkataan yang baharu dan sukar. Secara tidak langsung, kita menyokong usaha mereka untuk membaca.

4. Beli majalah kanak-kanak. Asuh, Adik Muslim, Upin Ipin, Sayang Muslim, Sains Adik, Cerdik, Kuntum dan sebagainya. Kandungan majalah kanak-kanak yang mengandungi banyak nilai murni akan membantu kita mendidik anak dalam menjalani kehidupannya.

5. Pastikan dalam satu hari, anak-anak ada melihat kita membaca. Al-Quran, majalah, buku, atau apa-apa sahaja bahan bacaan. Saya teringat Dr. Fadzilah Kamsah pernah memberitahu, apabila anaknya memasuki  biliknya, si anak  hanya akan dapat melihat bapanya sedang membaca buku.Visual ini akan mengukuhkan memori anak-anak bahawa ibu bapanya memang dekat dengan buku dan cintakan ilmu.

Apabila anak-anak minat membaca, secara automatik dia akan minat kepada ilmu. Buku-buku pelajaran tidak menjadi masalah lagi.

Guru di sekolah telah membantu kita sebagai ibu bapa untuk menambah ilmu pengetahuan kepada anak-anak. Tetapi, sedarlah, kita sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab menerapkan nilai suka membaca dan cintakan ilmu ke dalam jiwa anak-anak sedari kecil lagi.


Membaca walaupun  di hospital...walaupun ketika sakit...

Setelah saya mengamalkan 5 perkara di atas , dalam tempoh masa enam bulan, saya dapati:
  1. Apabila keluar berbelanja, Mawaddah pasti  meminta buku untuk dibeli.
  2. Di rumah, dia pasti akan membaca buku setiap hari.
  3. Ketika membeli majalah, dia sudah bijak melihat bilangan keluaran, dan isi kandungan majalah yang ingin dibeli.
  4. Nada dan intonasi bacaannya sangat memberansangkan.
  5. Ke mana sahaja kami pergi, dia akan penuhkan satu beg dengan buku-bukunya. (walaupun yang telah dibaca berulang kali)
  6. Ketika sambutan hari lahirnya, dia hanya akan membawa hadiah yang berupa buku untuk naik ke bilik tidurnya. Semua buku dibawa untuk dibaca dan dibelek-belek sebelum tidur. Lain-lain hadiah dikumpul di tingkat bawah.
  7. Turun dari kereta , sebuah buku pasti di tangannya.
  8. Dia akan mengingatkan kami isi kandungan surat-surat edaran dari sekola.
  9. Apabila saya pulang dari kerja, dia sibuk bertanya kalau-kalau ada buku baru untuknya.
  10. Sejak Januari hingga Mei tahun ini, dia sudah merekodkan 50 buah buku yang telah dibaca ke dalam rekod buku Nilam di sekolah.Kira purata, dia sudah membaca 10 buah buku sebulan. (tidak termasuk majalah dan buku pelajaran)
Sangat aman jika dia membaca di dalam kereta

Ayuh ibu bapa semua, usah berlengah lagi. Mulakan hari ini. Membaca budaya ilmu. Membaca jambatan ilmu. Membaca gaya wawasan.

p/s: ... hendak 1000 daya, mahu 1000 cara.
Saya rasa:

Catat Ulasan

0 Ulasan

Close Menu