Ad Code

Responsive Advertisement

Aku Yang Lain??

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته...

"Saya rasa dah 'kehilangan' Kak Maria yang saya kenal dulu." Tini memberitahu.Aku tersenyum.

"Dulu Kak Maria rajin buat 'potluck', bersemangat, suka buat program,suka bercerita.... macam-macamlah. Tapi sekarang dah lain..."ujarnya lagi.Nadanya mendatar dan menurun. Mungkin terkesan juga perbezaanku ini ke dalam dirinya.
Antara teman sekerja yang menyerikan hari-hariku....



Aku akui. Memang sekarang aku berbeza. Dulu lain sekarang lain.


Dulu, aku tinggal dekat dengan sekolah. 10 minit sudah 'tersembul' di pagar sekolah. Namun kini, rumahku jauh. Kalau 'line clear' , 30 minit  perjalanan, tibalah aku di sekolah. Kalau tiba-tiba di tengah jalan berlaku kemalangan atau ada kerja-kerja baikpulih jalan raya, jawabnya selepas 50 ke 60 minit baharu aku akan tiba di tempat kerja.

Dulu, aku tinggal serumah dengan bonda. Kerja-kerja rumah kebanyakannya bonda yang menguruskan. Namun kini, aku tinggal bersama suami dan anak. Bermakna, rumahku, tanggungjawabku. Aku pengurus hal ehwal rumahtangga.Memasak, mendobi, mengemas, menyapu , pendek kata semua yang me me me, akulah orangnya. Suamiku ada  membantu, membayar dan memantau apa-apa yang patut.

Dulu, iklim  di tempat kerjaku banyak memotivasi diri untuk maju ke hadapan.Semua menyokong dan mengambil berat.Memberi peluang dan ruang , memacu idea dan bekerjasama.Namun kini, semuanya kian lenyap.Mungkinkah   masing-masing terasa ditekan dan rasa tertekan? Wallahua'lam.

Dulu, jam 7.00 malam aku sudah  tiba di rumah. (aku mengajar sesi petang , tamat persekolahan 6.45petang) Namun kini, jam 7.00 malam aku masih di atas jalan. Sekitar 7.45 atau 8.00 malam , baru aku melepas lelah di depan rumah.

Dan kini, aku sedang tekun dan cekal menseimbangkan  diari dan jadual hidupku.Semoga hasilnya aku dapat menghirup nafas nyaman dan hidupku tidak lagi kekeruan!

Dulu lain sekarang lain.Banyak perkara yang berubah. 
Sedang jasad  dan empunya hati tetap sama.
Dulu lain sekarang lain. Sedang masa berputar, azam dan ingin tetap sama.
Dulu lain sekarang lain.  Sedang usia bertambah, amanah dipikul tetap sama.
Dulu lain sekarang lain. Sedang kudrat dan tenaga dikerah, usaha dan mahu tetap sama.
Cuma...
Walaupun dulu lain sekarang lain, aku tetap aku.
Punya cinta dan iman pada Allah yang Mencipta.
Punya sanjung pada Rasul ikutan.
Punya sayang dan hormat pada suami budiman.
Punya kasih pada anak dan keluarga.
Punya hati pada anak didik.
Biar jalanku tetap lurus di denai hidup.
Biar langkahku tetap mengundang tenang.
Biar tapakku  tetap menjemput bahagia.
Biar batang tubuhku ini tidak dijamah neraka!

p/s: ... pastikan 'aku' di lorong yang betul...


Saya rasa:

Catat Ulasan

0 Ulasan

Close Menu