Jumaat, 27 Julai 2012

Pandulah Dengan Berhemah... .

 
 
Pagi Jumaat, CikMa masuk sesi pagi. Memandangkan CikMa seorang sahaja guru agama di situ, maka jadual waktu CikMa adalah berbeza setiap hari. Orang lain yang mendengarnya pening, namun bagi CikMa , alah bisa tegal biasa.

Sesak dan jauh.
Alasan yang mendangkalkan.
Cuak.
 
Lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan pemandu kereta yang berlagak, macam dia seorang sahaja yang nak cepat sampai.
 
 
Pagi tadi CikMa nyaris-nyaris kemalangan.  Mujur hanya cermin sisi yang tercalar. Itulah dugaan yang selalu membuatkan hati terbakar apabila memandu. Sejam memandu, apa sahaja kemungkinan CikMa gantungkan kepada Allah.
 
Sikap tidak ambil berat dengan lampu signal, dan berlagak hebat,  antara punca yang menjadikan hati sakit tatkala memegang stereng kereta.
 
 Tak mengapalah, semegah-megah dia, akhirnya masuk ke liang kubur juga.

Mahu sahaja CikMa menulis nombor plat keretanya,namun bimbang maruah tercemar. Bimbang risiko tak berbaloi. Biarlah. Allah Maha Melihat lagi Maha Mengetahui.

Mengimbau sejarah Nabi SAW, buatkan jiwa damai kembali. CikMa anggap, inilah mehnah perjuangan CikMa dalam menyebarkan ilmu Allah. Semoga Allah kurniakan CikMa hati yang kuat!

Tertanya-tanya di dalam minda dan hati, adakah ujian itu meningkatkan iman??

Allahu akbar.




♥ Terima Kasih Kerana Sudi Singgah Sini ! Suka? Like tau ! ♥

Sabtu, 21 Julai 2012

Berbuka Puasa Gaul Nasi Dengan Rokok ?!


 
 
Ramadhan Kareem.

Macam mana puasa hari pertama? Bagi yang sudah praktis awal berpuasa sewaktu dalam bulan Sya'ban, mungkin sudah biasa. Tetapi, bagaimana pula yang baru hari ini berpuasa? Penat sikit agaknya?

CikMa sekonyong-konyong teringat gelagat seorang hamba Allah  yang menghisap rokok sebaik sahaja berbuka puasa. Mulanya bagus, membaca doa berbuka, dan makan kurma yang menjadi sunnah. Selepas makan nasi sepinggan, dia beredar dan mula menyalakan sebatang rokok.

Mulut CikMa yang tiada insurans  ketika itu berkata,  "Lebih baik gaul sekali nasi dan rokok tadi."  
 
 
Yang lain ketawa, kerana mungkin bunyinya agak lucu. Namun yang makan cili, menjeling dan buat-buat tak dengar. 

"Pening lah... satu hari tak hisap rokok... ." Alasan. 

Rupa-rupanya, alasan itu memang berasas.

CikMa terjumpa fakta mengenainya. Jom baca!



Apakah perubahan yang berlaku apabila anda berhenti merokok selepas...

...2 jam
Sistem peredaran darah mulai bersih daripada nikotin

...6 jam
Nadi menjadi perlahan ke paras lebih normal. Tekanan darah akan menurun. ( patutlah ada rasa pening!)

...24 jam
Gas beracun (karbon monoksida) akan lenyap dari tubuh. Lebih banyak oksigen diserap oleh sel tubuh

... 2 hari 
Deria rasa seperti lidah dan deria hidu akan bertambah baik



Maka, selepas berbuka puasa hari ini, cuba elakkan 'qada' hisap rokok supaya esok hari, iaitu setelah dua hari tidak merokok, anda pasti dapat menikmati makanan dan menghidu bau makanan yang lazat sepenuhnya!

Apakah yang akan terjadi setelah beberapa minggu anda tidak merokok ?
 
Nantikan sambungannya... .

~ Berhenti merokok, tindakan bijak lagi menguntungkan! !~


♥ Terima Kasih Kerana Sudi Singgah Sini ! Suka? Like tau ! ♥

Rabu, 18 Julai 2012

Pabila Cikgu Mula Berpantun

 
 
Peperiksaan semakin dekat. Tiba-tiba CikMa rasa nak berpantun pula. 
 
Tak sangka ramai juga  'geng bas sekolah' yang membeli pantun yang CikMa jual percuma di laman facebook.

Jom pakat-pakat baca!

Mahu membeli sebungkus laksa,
Samalah gula dan juga pisau,
Tak lama lagi murid nak periksa,
Kenapa pula guru yang risau?


Calon nak periksa buat tak tahu
Selamba badak belajarnya malas
Guru mengajar sehabis mahu
Adakah di hati bersisa belas?

CikMa, Kajang.

Membeli laksa dan juga cincau, 
Membeli juga bawang dan pisau,
  Memang la guru yang terlebih risau,
Pasal bila tanya, apapun depa tak tau.

Ustazah Rafidah, Kepong
 
Makan laksa perah limau,
Sambil belajar di tepi beranda,
Murid nak periksa guru yang risau,
Apa diajar tak pandai-pandai.

Cikgu Zunaidah, Terengganu

Cikgu menjerit sampai suara garau
Kerja menimbun masa tak cukup
Wahai cikgu-cikgu  buat apa nak risau
Diaorang malas biar melingkup.
 
Pergi ke sekolah berkereta biru
Parking di bawah pokok kelapa
Aduhai kesian nasib si guru
Kerja berganda-ganda,gajinya tak seberapa

Ilmu dicurah penuh di dada
Kerana ilmu bagai jambatan
Wahai guru kerja berpada-pada
Utamakan keluarga dan kesihatan

Murid yang malas,pandai-pandai la nak hidup
 
  Tabik spring kat cikgu-cikgu semua
Dalam kelas penat berdiri
Mencurah ilmu di mana jua
Bagaikan lilin membakar diri
 
Pn. Noredah, Melbourne
 
Pagi-pagi makan tauhu, 
Makan bersama buah ciku, 
Murid begitu kerana tak tahu, 
Masa hadapan penuh liku
 
Pergi ke kedai bersama leha, 
Pergi membeli halia dan temu,
 Sabarlah guru teruskan usaha, 
Hati manusia urusan Tuhanmu
 
Cikgu Nik Hartini, Cheras
 
Tengok syok berpantun tiba-tiba....
 
 
 biasa laaa...setiap guru mahu pelajarnya menjadi yang CEMERLANG dan BERJAYA...memang patut pun ustazah risau..:)
 
Mohd Fadzilah, Sg. Besi 
 
Ni yang tukar 'line' bukan cikgu, tapi anak murid CikMa lah tu...  

Apapun, usaha, tangga kejayaan!



♥ Terima Kasih Kerana Sudi Singgah Sini ! Suka? Like tau ! ♥

Jangan Jatuhkan Maruah Murid



 
 
Apa khabar semua? CikMa okey sahaja, cuma seperti biasa , belum bijak mengurus masa. Semua nak dibuat. Semua nak dibereskan. Sedangkan masa dan kudrat adalah terhad.

Semalam CikMa ke rumah kakak ipar CikMa. CikMa bertanya khabar anak bujangnya yang sedang  belajar dalam Tingkatan 1.


" Nak ditumbuk, cikgu! Geram jer!"

Hah? Terkejut CikMa sekejap.

"Apa fasal ni? Marah sangat bunyinya?" soal CikMa.

"Orang baru nak tanya kawan , PBS tu nak kena buat yang mana? Alih-alih cikgu tu suruh berdiri kat luar! Geram betul!" jawab anak buah CikMa.

CikMa kira dia berasa malu kerana didenda berdiri di luar kelas, sementelah kelasnya ada murid perempuan.

CikMa jarang sekali  mendenda murid berdiri di luar kelas. Selain menjatuhkan maruah murid, perkara ini juga akan menghalang murid daripada mendapat ilmu yang ingin disampaikan oleh guru dalam darjah.

Ada baiknya memberi amaran terlebih dahulu, kalau diulang lagi kesalahan sama, baharulah denda murid untuk berdiri. Itupun berdiri di tempatnya sendiri.



Berilah peluang kepada murid, dia pasti akan belajar!



Murid itu manusia.

Murid itu anak.

Anak yang perlu disayang dan diberi ilmu, walaupun bukan anak sendiri!








♥ Terima Kasih Kerana Sudi Singgah Sini ! Suka? Like tau ! ♥

Isnin, 9 Julai 2012

Pengkarya Guru Siri 4 Penuh Nostalgia



 
 
Selama 3 hari dua malam (5-7 Julai 2012) CikMa berkelana bersama-sama  rakan-rakan Pengkarya Guru  di Hotel Vistana Kuala Lumpur. Ini merupakan siri terakhir bagi Program Pengkarya Guru anjuran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (KPM) dengan kerjasama DBP.
 
Pengalaman selama 4 siri iaitu 12 hari sejak April lalu, sememangnya menjadikan hidup CikMa bertambah warnanya.
 
Untuk menjadi seorang penulis, banyak ilmu yang perlu ditimba, dari mula berkarya, hinggalah kepada bab hakcipta. 
 
CikMa berharap, suatu hari nanti  dapatlah CikMa menghasilkan karya untuk diterbitkan,amin... .

Jom tengok gambar pula, ok!


Hotel yang selesa, makan pun sodapppp



Pn. Hjh. Fatimah Zainal, Editor DBP  yang menjadi Mentor kesayangan saya!



Ambil berkat Pn. Nisah Harun :) Sangat berinspirasi



Cikgu Zulkifli, peserta yang terpilih ke Bologna Itali tahun lalu. Syabas, cikgu!



Bersama-sama bos PNI Neuron Sdn. Bhd., Datuk Ivan



Bos Al-Ameen sedang melawat pameran



Tengah bersiap-siap  sebelum pameran



Meja pameran kumpulan CikMa : Cereka Moden Kanak-Kanak



Ilustrasi anak murid CikMa, Ramdan. Terima kasih, Ramdan!




Ust. Ruzain Syukur, penulis buku Tampil Positif Sejak Remaja



Ustazah Norhamimi, menulis tentang lebah. Kreatif !



Hasil tangan Ustazah Hamimi  dan anak-anak muridnya




Hadiah daripada MBKM , sangat eksklusif



' Pasport ' Pengkarya Guru 2012



Sekotak buku hadiah daripada PTS yang melebihi RM300 ! Sayanggg PTS!



Penuh nostalgia... . 





Hidup akan bermakna, jika dilengkapi dengan manis manfaat.

 
Sekian, salam sayang daripada CikMa :)


♥ Terima Kasih Kerana Sudi Singgah Sini ! Suka? Like tau ! ♥

Sabtu, 7 Julai 2012

Blog CikMa : Seronok Mengajar, Seronok Belajar





 
 
Ke mana lah CikMa menghilang? 
CikMa ada, cuma seperti biasa, belum bijak mengurus masa.

Apabila nak tulis cerita, terfikir nak buat itu, nak buat ini.
Maka, dengan kudrat dan masa yang terhad, muncullah... .
 

www.maryatiamin.blogspot.com




 
Blog kedua ini dibina khas untuk rakan-rakan guru Pendidikan Islam khususnya , dan rakan-rakan guru amnya.

Blog "Seronok Mengajar, Seronok Belajar" ini lebih formal , menjurus kepada hal-hal pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah.

Bahan-bahan P&P dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah  (PBS) turut disertakan untuk manfaat dalam darjah.

Bagi rakan guru yang mempunyai blog P&P dan ingin dihubungkan melalui blog "Seronok Mengajar , Seronok Belajar", sila email kepada CikMa di maksuecomel@gmail.com
 
~ Guru, penuntut ilmu sepanjang hayat. ~

Sekian, terima kasih.


♥ Terima Kasih Kerana Sudi Singgah Sini ! Suka? Like tau ! ♥