Selasa, 14 Ogos 2012

Tatkala Dia Menangis... .

 
 
Ramadhan Kareem.

Dada CikMa bagai nak pecah. Menampung 1001 cerita sepanjang Ramadhan. Kalau sekali tekan papan kekunci, keluar semua ayat dan perenggan , alangkah! 
 
Dalam sekantung  cerita, ada satu yang mahu CikMa tulis hari ini.

~~~~~~~~~

" Haiqal, ustazah nak jumpa sekejap." Haiqal diam. Matanya menunduk ke bawah. CikMa lihat, tangannya sudah bergetar. Dia memang tidak dapat lari daripada CikMa kali ini. 

Haiqal merupakan seorang murid CikMa , ringan tulang dan salah seorang penerima  biasiswa. Orangnya kecik-kecil, hormat kepada guru dan tiada rekod disiplin.
 
Sudah hampir sebulan peristiwa itu berlalu. Dia ingat dia selamat. Namun sangkaannya meleset. Sengaja CikMa 'peram' kesnya memandangkan musim peperiksaan hampir tiba.
 
Sejak dia melakukan peristiwa itu, dia selalu mengelak. Tidak dekat dengan CikMa seperti selalu.CikMa sudah tahu, tapi CikMa sengaja buat-buat tak tahu.

Tamat peperiksaan , CikMa memanggilnya.

" Agak-agaknya, kenapa ustazah panggil awak?"  Dia terus menunduk. Jari-jarinya yang halus menggigil terus. Dapat CikMa agak, jantungnya berdegup laju. CikMa tetap bertenang. Menarik nafas dalam-dalam.

Dia diam tercegat hampir lebih 5 minit. Dan bagi seorang CikMa, 5 minit sangat mahal. Sejak berulang jauh dari rumah ke sekolah, 5 minit CikMa menekan pedal minyak, hampir-hampir sampai dari satu tol ke satu tol yang lain. 5 minit yang berharga.

" Kenapa awak tak serah buku bank terus kepada ustazah? Kenapa letak atas meja sahaja?" CikMa terus menembak. Dia memang sudah tahu itu.

Sejak awal, CikMa memang memantau keluar masuk duit biasiswa murid. Walaupun itu duit mereka, tetapi CikMa mengawal supaya tiada penyelewangan.  CikMa bersoal siasat ke atas setiap duit yang dikeluarkan dan dibelanjakan, macamlah itu duit CikMa.
 
Apa yang dia buat?
Dia keluarkan RM1000 sekelip mata! Apa yang dibeli? 
Telefon bimbit berjenama.
 Ya Allah... .


" Ustazah rasa, mungkin awak tak layak dapat biasiswa. Orang takde duit beli makanan, awak takde duit tapi beli telefon mahal. Telefon ustazah  pun tak sampai RM1000!" CikMa mengawal nada. Sedaya upaya. Biar itu teguran wanita dewasa, bukan amarah perempuan gila.
 
" Ustazah kan macam ibu awak di sekolah. Bagi tahulah nak beli telefon... . Ustazah tahu telefon penting  , boleh beli. Tapi bukan yang sampai RM1000." CikMa mengendur apabila melihat hidungnya mula kembang-kempis.Matanya membundar dan redup. Rasa bersalah.

"Ada murid nak beli basikal, bagitahu, ustazah benarkan sebab basikal tu dia perlu untuk sampai ke sekolah. Habis, mana telefon tu?"

" Abang saya simpan." Tersekat-sekat dia menjawab.

"Nampak? Beli mahal-mahal , tapi tak dapat guna pun.Ustazah sayang awak, lain kali ada apa-apa cakap dengan ustazah."

Dia mengangguk. Diam lagi. Kakinya bagai digam di tepi meja CikMa. 

" Ustazah...saya minta maaf... ." Dia melafaz maaf, sarat ikhlas beriring air mata. Terhenjut-henjut bahunya menahan sesal.

Kasihan datang menyerbu. CikMa turut menangis namun cukup di dalam lantai hati. 
 
Jika dia melafaz maaf ,  sarat ikhlas beriring air mata,
CikMa melafaz doa , sarat berharap beriring insaf.
 
"Ya Allah, bimbinglah aku agar aku mampu membimbing anak-anak muridku..."



♥ Terima Kasih Kerana Sudi Singgah Sini ! Suka? Like tau ! ♥

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ada nak komen?Tulis sini ek... :)