Jumaat, 28 September 2012

Kisah Sebungkus Coklat dan Sekeping Roti

 
 
"Ustazah, Fitri pening!" Seorang anak murid CikMa memberitahu.

CikMa mengangkat muka. "Fitri, mari sini."

Dia menapak. Lemah.

 "Awak tak makan apa-apa ke sebelum datang sekolah?" Dia tersenyum nipis, menggeleng-gelengkan  kepala malu-malu. 

CikMa mengerling jam di pergelangan tangan. Sudah 2.20 petang. 
Masya-Allah, sudah lama perutnya kosong.

Fitri merupakan seorang anak yang bapanya hilang entah ke mana. Tinggal bersama-sama ibunya dan empat adik-beradik yang lain. Miskin dan susah, dia sudah alah.

"Nah. Makan ni. Makan sekarang." CikMa menghulur sebungkus coklat Cloud 9 yang ada dalam beg tangan.

Murid-murid yang lain sedang menunaikan solat Asar. Hanya ada beberapa orang sahaja ada di dalam kelas. Melihat Fitri makan, mereka sedikitpun tidak mengusik apa lagi meminta sikit walaupun CikMa nampak, ada yang menelan air liur. Budak-budak, siapa yang tak suka coklat! Tapi kali ini, masing-masing hanya memandang dan memahami keadaan Fitri yang susah itu.


Kebetulan CikMa membawa roti dan jem. CikMa sapukan dan beri kepada Fitri. Mata-mata  yang lain memandang , bertambah sayu dan simpati.


Rezeki Fitri... .

Bayangkanlah, sejak pagi hingga jam 2 petang, murid ini kelaparan. Kalau dalam keadaan ini, jangankan budak, kita yang dewasa inipun takkan fokus  dalam pekerjaan.

Selepas makan coklat dan roti, Fitri sedikit ceria. Sudah tentu dia gembira walaupun sakit kepalanya belum betul-betul reda.

Ya Allah, Kau terangilah hati anak ini dalam menuntut ilmu. Peliharalah dia dari segala kejahatan dan musibah. Berilah kejayaan dan kebahagiaan kepada dirinya sekeluarga. Amin. 

Hati CikMa menangis lagi. :'(



♥ Terima Kasih Kerana Sudi Singgah Sini ! Suka? Like tau ! ♥

Rabu, 19 September 2012

Dengar Radio Dalam Kelas. Eh, boleh ke?

 
 
"Hari ini, kita dengar radio, ok!" CikMa membuat pengumumam.

"Yeay, best la ustazah... ." Sahut anak-anak murid CikMa. Semua menunjukkan wajah yang sangat gembira.

" Radio apa ustazah?" Izam menduga.

"Kita dengar radio IKIM."

"Oh, radio yang ustazah masuk tu ke?" CikMa tersenyum.
 
Radio IKIM adalah pilihan utama CikMa. Dan sejak CikMa diundang sebagai tetamu di Konti Radio IKIM.fm ketika cuti sekolah yang lalu,  CikMa semakin minat dan setia mendengar siaran radio tersebut.

CikMa suka dengan siaran IKIM.fm yang sangat berinformatif dalam mendidik jiwa mencari keredhaan Allah SWT.

 
CikMa di konti Radio IKIM.fm  bersama-sama DJ Faiz Hj Othman :)
 

Sebenarnya sudah lama CikMa tak berkesempatan mendengar Slot Islam Agamaku yang bersiaran setiap hari Khamis, jam 5.15 petang.  Puas memikirkan cara, maka timbullah idea untuk mendengar bersama-sama anak murid CikMa secara atas talian di dalam kelas. 
 
"Islam Agamaku" mengisahkan kisah pengalaman suka duka saudara baru - muallaf dalam menjalani kehidupan mereka selepas memeluk Islam. CikMa berasa insaf, kerana mereka bersusah-payah mendapatkan Islam sebaliknya, kita yang sememangnya Islam, adakalanya tidak menghargai ajaran dan perjuangan Nabi Muhammad SAW.
 

 
Dengar di sini... . 

Sementara anak-anak murid CikMa menunaikan solat Asar, CikMa menyediakan peralatan seperti  komputer riba,speaker,dan  talian internet.

Aktiviti ini CikMa jadikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (Tingkatan 1) dalam tajuk Adab Menuntut Ilmu. Maknanya, CikMa menilai tingkahlaku murid sewaktu belajar. Kira serampang dua mata,lah. Dapat dengar radio dan dapat mentaksir murid.


Masing-masing 'memasang' telinga

Hamizan,( tunduk ) sudah tidak ketawa lagi.
 Baca kisahnya di sini

 Ketika siaran sedang berlangsung, CikMa berjaya menembusi talian radio IKIM ketika itu. Murid-murid CikMa mahu tahu bilakah En. Muhammad Atih Kadir memeluk agama Islam dan apakah pengalaman yang paling tidak boleh dilupakan selepas bergelar seorang Muslim.

Anak-anak murid CikMa semuanya berwajah ceria ketika mendengar suara ustazah kesayangan mereka secara langsung menerusi radio.

DJ Hajah Nik Hasnah  yang menerima panggilan telefon CikMa turut teruja apabila diberitahu CikMa sedang mendengar siaran bersama-sama 22 orang murid  di dalam kelas secara atas talian.


 Sebelum kelas berakhir, CikMa 'mengikat' sesi pengajaran dan pembelajaran pada hari itu dengan soalan-soalan yang berkaitan dengan siaran yang mereka dengar. Sebanyak enam soalan yang CikMa bina secara spontan dan dapat dijawab oleh para murid. Murid yang dapat menjawab, CikMa berikan ganjaran sebatang pensel 2B yang comel... .


Hadiah bagi mereka yang dapat menjawab soalan

Seusai kelas, semua anak murid CikMa rasa gembira kerana pembelajaran mereka hari ini ' lain daripada yang lain'.

Malah seorang anak murid CikMa, yang  berasal daripada sebuah keluarga muallaf, sibuk bertanya CikMa apa lagi yang menarik untuk didengar dari Radio IKIM.fm.

Dia mencatat: 

Isnin 5.15-6.00 petang: Mukmin Profesional 
Isnin 10.15 -11.00 pagi : Rumahtangga
Rabu 5.15-6.00 petang : Bicara Muamalat
Khamis 5.15-6.00 petang : Islam Agamaku
Jumaat 5.15-6.00 petang: Ibadah
Isnin- Jumaat 6.30-6.45 pagi : Tafsir Al-Quran
Setiap malam: Lagu-lagu nasyid , Santai Malam,  Remaja

Lebih kurang begitulah... .
 
Katanya mahu bagitahu mama, biar mama dengar radio IKIM.fm

Alhamdulillah... . Semoga ada manfaatnya!




♥ Terima Kasih Kerana Sudi Singgah Sini ! Suka? Like tau ! ♥

Selasa, 18 September 2012

Ketawa Boleh, Tapi Jangan Banyak-Banyak

 
 
" Masya-Allah, awak ni Hamizan, ketawa tak henti-henti!"

Dia masih tertawa apabila CikMa menegur. Girang.

Sikit-sikit dia ketawa. Kawan hilang pensel dia ketawa. Ada murid lain terjatuh dia ketawa. Apa-apa sahaja yang berlaku dalam kelas dia ketawa. Macam tiada masalah langsung murid CikMa yang seorang ni. 

" Mari sini, Hamizan," CikMa memanggil. Dia menyengih. Datang ke depan.

"Duduk." Dia akur.

"Angkat tangan kanan. Letak kat hati. Mata awak, tengok kat hati awak tu."

Dia tetap akur. Budak yang baik. Tapi, bibirnya tetap menyengih.Tawa masih bersisa.  Bertuah!

"Lepas tu ustazah?" Dia bertanya, hairan.

"Awak beristighfar, ya. Asyik ketawa sahaja. Risau ustazah tengok awak ni."

"Ustazah, Faiz pun sama... ." Dia kurang puas hati.

"Takpe, awak istighfar sampai menangis, lepas tu ustazah panggil Faiz pula."

Lalu, dengan wajah yang ceria-meria itu, dia pun mula beristighfar. Lama juga dia melagukan istighfar itu.

"Ustazah , penatlah." 

" Kalau penat, berehat, lepas tu, sambung balik tau." Saran CikMa.

Setelah diam dengan sengihnya yang masih ada kira-kira dua minit, dia menyambung semula istighfar. Budak yang baik.

Dia terus beristighfar
"Ustazah, saya tak boleh menangis lah... ." Setelah 15 minit dia di situ, dia bersuara.
 
"Tulah, kalau hati dah keras, istighfar banyak-banyak pun masih susah menangis. Hati keras sebab banyak ketawa... ." Omel CikMa. 
 
Dia diam. Sudah tidak ketawa lagi. Muka sedih. 
 
"Baik, sekarang semua sekali, letak tangan kanan atas hati, tengok hati,  kita istighfar ikut Hamizan." 
 
 






Rasulullah saw. bersabda, “Janganlah banyak ketawa kerana banyak ketawa akan mematikan hati.” 
(HR At-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Sejak hari itu, kurang sedikit ketawanya, alhamdulillah... .



♥ Terima Kasih Kerana Sudi Singgah Sini ! Suka? Like tau ! ♥

Khamis, 13 September 2012

Sembelih Ayam Segar, Terbaik Dari Ladang

 
 
Isnin lalu,  CikMa menganjurkan  Kursus Penyembelihan Ayam sempena Minggu Akademik Kemanusiaan. CikMa rasa seronok sebab inilah kali pertama Kursus Penyembelihan dibuat di sekolah CikMa setelah 70 tahun penubuhannya. Dahsyat tak bunyinya ? Maka, dengan semangat yang berkobar-kobar, CikMa anjurkan program ini dengan harapan semoga ianya dapat memberi manfaat ilmu kepada anak-anak didik CikMa.

CikMa telah menjemput pegawai dari JAWI, di  bahagian Penyelidikan, iaitu Ustaz Abdul Fatah bin Yusof dan  dibantu oleh  rakan sekerjanya iaitu En. Roslan.

Penerangan dan tunjuk ajar yang diberikan sangat jelas. Maka sebanyak 12 daripada 13 ekor ayam telah selamat disembelih dengan sempurna. Yang baki seekor lagi tidak halal dimakan kerana tidak putus 2 uratnya. Penyembelih amatur katakan! Ketar tangannya tak habis-habis. CikMa yang menengok geli hati pun ada, kasihan pun ada.

Ada seekor nyaris-nyaris 'kojol' akibat mati lemas di longkang. Mana taknya, lepas disembelih, ayam berkepak-kepak lalu terjatuh ke dalam longkang. Mujur bantuan cepat-cepat dihulurkan. Maka selamatlah ayam tadi daripada mati lemas, dan mati akhirnya kerana sembelihan, bukan kerana mati lemas >.<

CikMa sasarkan Murid Tingkatan 4 yang mengambil bahagian,kerana ada dalam sukatan Tingkatan 4,  manakala murid Tingkatan 1, 2 dan 3 jadi penonton dan penuntut ilmu.  Anak-anak murid CikMa semuanya rajin, tolong itu dan ini. Minta tolong apa sahaja, cepat sahaja mereka buat. Maklumlah, ustazah nan seorang lagi sebatang kara, kalau bukan mereka, siapa lagi nak tolong ustazah, betul tak? :)

Ustaz Abdul Fatah memberi taklimat penyembelihan


Alat sembelihan- pastikan tajam

Pastikan dada ayam menghadap kiblat

Bismillahi Allahu Akbar

Jangan tarik kepala ayam macam ni...

Pastikan dua urat terputus, iaitu urat halkum dan urat marih- urat pernafasan dan salur makanan
Sebelum ayam dilapah, periksa dahulu, sama ada sudah mati atau tidak. Kemudian, periksa adakah sembelihannya sempurna atau tidak. Mana yang tidak terputus 2 urat, kita 'reject'.  Tak boleh makan , ya!

Ayam dilapah, kita buang kulit sebab banyak kolestrol. Eh, seksi ya ayam ni?? ;)

Apa ni? Inilah usus perut ayam. Lebih kurang 24 kaki panjangnya. Subhanallah.

'Penonton' setia yang tidak berganjak

Pelajar melapah dan membersihkan ayam

Setelah kerja membersihkan ayam selesai, pihak kantin telah menggoreng ayam tersebut. Disebabkan masing-masing teruja  dengan keenakan ayam segar dari ladang, maka terlupa pula  CikMa snap satu gambar.

 Ayam yang mati tanpa sebelihan sempurna tadi telah ' disedekahkan' kepada seorang guru yang non muslim. 

Memandangkan ayam ini ayam ustaz ( dengar Al-Quran dan makan dedak terbaik) CikMa beli 2 ekor untuk kegunaan isi rumah.

Balik rumah, sekitar jam 5 petang, baru CikMa teringat yang CikMa belum makan tengah hari lagi. Masya-Allah... . Sibuk dengan ayam , sampai terlupa belum makan. Lantas, apalagi, terus CikMa masak , ayam masak merah.... ayam terbaik, segar dari ladang! 


Bismillah Allahu Akbar! ;D


♥ Terima Kasih Kerana Sudi Singgah Sini ! Suka? Like tau ! ♥

Sabtu, 8 September 2012

Sila Semak Buku Rekod Perkhidmatan Anda

 
 
 Adakah anda seorang kakitangan kerajaan? 
Adakah anda telah bekerja lebih dari 5 tahun?

Jika ya, silalah semak Buku Rekod Perkhidmatan (BRP) anda di Jabatan masing-masing. 
 
Buku Rekod Perkhidmatan ibarat 'nyawa' kita. Segala urusan kenaikan pangkat, pergerakan gaji, cuti, elaun, semuanya akan direkod dalam buku tersebut. 



CikMa difahamkan bahawa, seorang pegawai  di JPN ditugaskan untuk menjaga lebih 200 buah Buku Rekod Perkhidmatan para guru. Maka, ada baiknya sekali-sekala kita menyemak buku kita supaya tidak timbul masalah di kemudian hari.



Pastikan sebelum pergi ke JPN , hubungi dan maklumkan terlebih dahulu kepada pegawai yang bertugas supaya mereka dapat bersedia dan kemaskini BRP kita.
 
Pada kebiasaannya, salinan BRP diperlukan jika seseorang guru ingin memohon Guru Cemerlang ataupun ingin memohon biasiswa untuk melanjutkan pelajaran. Jika kita selalu semak BRP sekurang-kurangnya 2 kali setahun, pastinya semua urusan akan berjalan lancar.

Semak tau, jangan tak semak... .



♥ Terima Kasih Kerana Sudi Singgah Sini ! Suka? Like tau ! ♥