Ahad, 21 Oktober 2012

Nikmat Sebatang Jari

 
 
Apabila CikMa datang kat meja dia, cepat-cepat dia sembunyikan tangannya ke dalam laci meja. Apabila CikMa menjauh, dia keluarkan semula. 

Disebabkan dua tiga kali perlakuan itu diulang, CikMa berasa pelik. 

" Tangan awak tu kenapa Afiq?" CikMa bertanya ingin tahu.

Dia tersenyum sambil mengeluarkan tangan kanannya itu dari laci meja.

"Eh, apa tu?" CikMa ternampak ada sebiji objek berbentuk puntung rokok bewarna kuning.

Dia pun mulalah bercerita... .

" Saya main hoki, ustazah. Ada seorang budak tu, dia terketuk tangan saya. Terkena kuat kat jari telunjuk ni." CikMa membelek dekat.

" Jari saya ni patah , ustazah... ." 

Ha? Jari patah?? Ngilu!
 
Buat pertama kalinya, CikMa melihat sendiri jari patah. Selama ini , tangan patah yang berbalut simen putih, kemudian ditulis dengan pelbagai coretan ,  adalah. 

"Habis, tak simen?" CikMa bertanya seperti orang bodoh.

" Mana boleh ustazah... . Doktor masukkan besi je." 

Ha?? Besi! Besi di bawah kuku! Masya-Allah... Seriau CikMa melihatnya.

Kata Afiq, ketika proses memasukkan besi, beliau diberi ubat bius dan tidak sedarkan diri. Doktor memasukkan besi dengan berpandukan paparan x-ray secara langsung dalam bilik bedah. Allahu akbar.. CikMa mengurut dada. Memang menakutkan! Dan pastinya menyakitkan!

Jarinya patah!

Besi dibawah kuku. Ngilu!

Setelah sebulan kemudian, besi tersebut dikeluarkan dan alhamdulillah kini Afiq sudah boleh menulis cuma jari telunjuknya itu  tidak boleh diberi bebanan berat. 

" Sebulan Ramadhan, saya tidak boleh menulis. Barulah saya tahu betapa nikmatnya sebatang jari. Alhamdulillah, kini jari saya dah sembuh. " 
Begitulah yang ditulis Afiq dalam slogan kuiz Ramadhan yang lalu.

Demikianlah nikmatnya sebatang jari, yang sering kali tidak diambil peduli.  Sama-samalah kita renung-renungkan... .


♥ Terima Kasih Kerana Sudi Singgah Sini ! Suka? Like tau ! ♥

Rabu, 17 Oktober 2012

Patah Tumbuh Hilang , Bergantikah?

 
 
Sudah dua kali dia berkata begitu.

" Ustazah, kalau ustazah dapat pindah sekolah, saya memang sedih."

CikMa telan air liur dalam-dalam. Kelat.

" Kalau ustazah pindah, entah siapalah yang akan mengganti." Dia mengeluh.

" Patah tumbuh hilang berganti... ." Sahut CikMa perlahan.

"Sama ke?" Dia membidas.

" Insya-Allah... mudah-mudahan. Harapnya lebih baik daripada saya..." 

Dia menggeleng-gelengkan kepala. Semacam kesal dan risau.

Sudah 10 tahun CikMa berkhidmat di sekolah ini. Di tengah bandar, dan semuanya murid lelaki. CikMa sudah masak dan lali.

Tatkala membayangkan wajah murid seorang demi seorang, yang Tingkatan 1 dan Tingkatan 2 terutamanya, membuatkan hati CIkMa bertambah haru.
 
Wajah-wajah kesayangan hamba
 

CikMa tinggal jauh dari sekolah. Itulah sebab utama CikMa mengisi borang pindah.
 
Mengharung sesak setiap hari  yang menyesakkan dada
 
 
Sementelah hanya CikMa seorang guru agama, membuatkan CikMa bertambah lelah. 
 
Mengajar dua sesi, dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5, menyiapkan kertas soalan, menanda buku, mengurus fail , melaksanakan aktiviti, memang rumit apabila keseorangan. 

Walau macamana pun, CikMa berserah kepada Allah, kerana Dia yang Maha Mengetahui, mana yang terbaik, buat seorang hamba!





♥ Terima Kasih Kerana Sudi Singgah Sini ! Suka? Like tau ! ♥

Ahad, 14 Oktober 2012

Kerana Inilah Tahun Terakhir... .

 
 
Dedikasi buat semua calon SPM 2012 di seluruh Malaysia


Kerana Inilah Tahun Terakhir

Syabas!
Hari ini sijil tamat persekolahan
dalam genggaman.

Kerana inilah tahun terakhir
Setelah setahun belajar di tadika
Mengenal ABC, warna dan 123.

Kerana inilah tahun terakhir
Setelah 6 tahun sekolah rendah engkau tinggalkan
Mula mengenal alam dan masa.

Kerana inilah tahun terakhir
Setelah Tingkatan 1, 2 dan 3 di bangku sekolah
Menambah pengetahuan
Mengenal disiplin erti kehidupan.

Kerana inilah tahun terakhir
Tingkatan  4 dan 5 engkau sudahkan
Mengharung pelbagai cabaran
Menepis godaan dan cubaan yang mendatang.

Kerana inilah tahun terakhir
Setelah 12 tahun dudukmu di bangku sekolah
Belanjamu ditanggung ibu ayah
" Biar kita lelah, asal anak kita berilmu!"

Kerana inilah tahun terakhir
Kita bakal memetik buah harapan
Yang disemai 12 tahun lalu
Sebelum engkau berangkat 
ke gerbang kehidupan sebenar.

Teruslah berjuang tanpa rasa penat
Tepislah godaan yang mengasyikkan
Pasakkan azam, capailah kejayaan
Genggamlah kecemerlangan.
Katakanlah : " AKU BOLEH!"

Kerana inilah tahun terakhir....



                                                               Cetusan nurani,

 


♥ Terima Kasih Kerana Sudi Singgah Sini ! Suka? Like tau ! ♥

Lecehlah Tengok Bola

 
 
Khamis, ATM lawan  Singapura.
Jumaat, Kelantan lawan Selangor.

Alhamdulillah, pasukan yang CikMa sokong, menang. 

Kadang-kala 'layan' bola, menemankan dia, seronok juga. 
Tapi...lecehlah tengok bola ni. 

Sebab?

1. CikMa yang rasa penat. Macamlah CikMa yang berlari keliling padang tu! Dah tiga hari berlalu, belum hilang lagi rasa penat nih!

2. CikMa rasa berdebar. Agak-agaknya siapalah yang akan menang?

3. CikMa rasa sakit dan ngilu. Apabila pemain berlaga, tersepak tulang kering, jatuh tersembam ke tanah, aduuuuuhhhh, rasa senak perut CikMa!

4. CikMa rasa risau, apabila tengok gelagat jurulatih dok ke hulu ke hilir perhati anak-anak buahnya.

5. CikMa rasa tak sedap hati, apabila pemain bertikam lidah apabila kad kuning atau merah diangkat pengadil.

dan... . 

6. ..yang paling CikMa tak boleh tahan, rasa simpati dan kasihan bila tengok aksi pemain yang kecewa bila bola yang disepak, tak masuk ke dalam jaringan gol... huhuhuhu

'Dos'  penghayatan CikMa tinggi barangkali, sampai terkesan walaupun hanya menonton dari kaca tv!

Pada pendapat kalian, agak-agaknya lebih baik CikMa berhenti tengok perlawanan bola sepak atau terus menonton?? Alahai, lecehlah CikMa!




♥ Terima Kasih Kerana Sudi Singgah Sini ! Suka? Like tau ! ♥

Isnin, 1 Oktober 2012

Air Mata di Kelana Jaya

 
 
CikMa sekeluarga menghantar bonda dan rombongannya ke Kompleks Tabung Haji ,Kelana Jaya Jumaat lalu. Syukur ke hadrat Allah SWT kerana dapat juga bonda berangkat menunaikan haji tahun ini walaupun sebenarnya beliau sudahpun mengerjakan haji ketika tahun 1985.( CikMa darjah 1 ketika itu)
 
 
 
Bonda sudah tua. Umurnya mencecah 68 tahun. Namun, dengan kasih sayang Allah SWT, masih lagi sihat dengan  cara hidup beliau yang rajin berjoging, bersenam, bercucuk tanam dan menjaga pemakanan.

Semua adik-beradik CikMa termasuk ipar -duai dan anak-anak buah, makcik pakcik, sepupu-sepapat , semuanya berkumpul. 
 
 

Siap berkelah!


Sewaktu bersalaman, tiada air mata yang tidak tumpah. Menyimpan sejuta makna tersirat, di saat saling memohon kemaafan. Dada CikMa sarat dengan doa, semoga Allah senantiasa memelihara bonda, memudahkan urusannya agar dapat beribadat dengan sempurna. Pergi ke Tanah Suci dengan selamat, dan pulang ke tanah air dengan selamat bersama-sama haji yang mabrur. 
Amin ya Allah, hamba bermohon.


Sayang emak!

Ayah telah lama pulang ke pangkuan Ilahi. Kali ini, bonda mengupah haji untuk arwah ayahanda tercinta. Semoga amalan ibadat buatnya diterima. 
Amin, ya Rab!


Di kelilingi anak cucu


Di satu sudut, CikMa memerhati.

Jemaah yang berangkat kebanyakannya sudah berumur. Makin sebak dada CikMa apabila tangan yang terketar-ketar, menarik beg bagasi masing-masing. Ada yang teroleng-oleng ke kanan, teroleng-oleng ke kiri.
 Allahu Akbar.

Mahu menolong, namun, lorong daftar masuk khas untuk jemaah sahaja, yang lain, dilarang masuk.

Ingatan CikMa terlayang kepada suatu pengalaman ketika di Mina. (CikMa berpeluang mengerjakan haji pada tahun 1998, Alhamdulillah)

Makcik-makcik yang sedang menunggu giliran masuk tandas, masing-masing sudah 'terkucil' kerana menunggu lama. Mujur mereka sudah memakai lampin pakai buang seawal mula. Subhanallah. Tak terbayang CikMa pelbagai  cabaran yang terpaksa dihadapi demi menyempurnakan tuntutan Rukun Islam kelima, tanda ketekunan ibadah hamba.

Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. 
Semua maklum hendaknya.

CikMa menyeru kepada diri CikMa sendiri dan kepada rakan pembaca sekalian, marilah sematkan azam untuk menjadi tetamu Allah pada usia muda, dan mulalah menabung mulai sekarang.
 
 Sikit-sikit lama-lama jadi bukit! Insya-Allah






♥ Terima Kasih Kerana Sudi Singgah Sini ! Suka? Like tau ! ♥