Khamis, 29 September 2011

Jamuan Penghujung Syawal

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته...
Salam sejahtera buat semua...

Penghujung Syawal ini, saya menganjurkan Jamuan Aidilfitri untuk murid-murid Islam Tingkatan 1 dan Tingkatan 2... Meraikan sinar Syawal setelah selesai 'puasa enam'. Sambutan dan kerjasama yang tak terduga, membuatkan semua yang hadir gembira...


Bermaaf-maafan amalan mukmin bertaqwa

"Sesiapa nak bawa kuih raya, sangatlah dialu-alukan." Saya memberitahu.

"Ustazah, kuih raya rumah saya dah habis...." Jawab seorang murid.

"Kalau begitu,bawalah kuih yang tak raya... " Saya berseloroh.Murid-murid semuanya terpinga-pinga, hairan.

"Yelah, kalau kuih raya dah habis, bawalah kuih karipap ke, agar-agar ke...."

"Ohhhhhhhh..." Baharulah mereka mengerti.

Tetapi saya sebenarnya tidak mengharapkan lebih, kerana saya sudah menempah menu utama dan minuman serta sedikit kuih-muih... Namun sungguh membuatkan saya terharu ialah komitmen para ibu bapa murid-murid ini, walaupun si anak sudah sekolah menengah, namun, bab jamuan raya, mereka tetap memberikan sokongan yang padu....

Jamuan Tingkatan 2 diselerakan dengan spegetti, mee hon, karipap, buah tembikai, KFC,agar-agar dan kek. Manakala Jamuan Tingkatan 1 sehari selepasnya dimeriahkan dengan kek mufin, roti hotdog , kuey teow goreng, minuman ringan dan buah anggur. Semuanya dibekalkan oleh ibu bapa masing-masing.Seronok benar nampaknya mereka.

Kepada semua ibu bapa dan murid-murid ,ustazah ingin merakamkan sejuta penghargaan buat kalian kerana menjayakan majlis yang ringkas tetapi penuh bermakna ini... Jazakallahu khairan jazaa'





♥ Terima Kasih Kerana Sudi Singgah Sini ! Suka? Like tau ! ♥

Jumaat, 23 September 2011

Terima Kasih Tuhan

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته....
Salam sejahtera buat semua...

Sibuk-sibuk kerja ni, saya nak berkempen sikit....
Jika anda seorang guru, saya syorkan anda membaca buku ini: Terima Kasih Tuhan oleh Azizul Rahman (GC Jusa C). Buku ini berharga RM25.00 dan boleh didapati di kedai buku MPH.



Buku ini memuatkan kisah-kisah suka duka para guru dalam menjalankan amanah sebagai pendidik, yang akhirnya pengalaman yang dikutip menjadi permata yang berharga yang menjadikan diri mereka berkemilau dengan sinarannya.

Diherdik pengetua, pelajar bermasalah, dan pelbagai lagi detik-detik yang tidak menyenangkan telah dilalui oleh para guru sebelum kita. Mereka ini asalnya insan biasa sahaja, namun marah kepada yang menghalang perjuangan telah menjadi dendam positif yang menyemarakkan lagi usaha mereka untuk ke mercu cemerlang.

Adakalanya, kita merasa letih dan lemah tatkala dihadapkan dengan pelbagai tugasan di sekolah,yang kadang-kadang kita terfikir, "ni kerja cikgu ke? " , "kita ke yang kena buat semua ni?" . 

Memang sebagai manusia, itulah perasaan yang timbul  kerana kita rasa penat dengan tugasan tanpa henti. Di saat itu, kita memerlukan sokongan dan motivasi daripada teman-teman dan keluarga, yang memahami tanggungjawab dan kerjaya kita.Jika tidak, kepenatan, kelemahan dan keletihan itu akan dirasakan berterusan dan perlahan-lahan akan memadamkan obor semangat jiwa pendidik kita.Mangsanya adalah anak-anak bangsa kita sendiri.

Bacalah buku ini. Pasti anda akan peroleh sesuatu untuk dipegang sebagai kekuatan.



♥ Terima Kasih Kerana Sudi Singgah Sini ! Suka? Like tau ! ♥

Isnin, 19 September 2011

Kisah Kasih Kucing....

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته...
Salam sejahtera buat semua...


Pagi ini , aku dan abangku membawa Miko ke Hospital Veterinar. Setelah mendapat suntikan vaksin sebanyak dua kali bulan lalu, hari ini Miko akan dibedah untuk tujuan pengkasian.

Miko yang manja bersama-sama Alona

Sementara menunggu giliran, kami berbual dengan seorang penggemar kucing yang sedang menunggu proses pengkasian kucing jantannya selesai.Sebelum ini , seekor kucing betinanya mati setelah dibedah. Dia berdoa semoga peristiwa yang sama tidak berulang kali ini.

"Tom, bangun Tom....nafas kuat sikit... Tom pandai...." Doktor Veterinar memberi semangat.Kerisauannya terselindung di sebalik topeng muka yang dipakai. Tom merupakan 'pesakit' yang ke 14 untuk hari ini.

Seorang pembantu doktor kelihatan cemas.Dia mengambil peralatan oksigen untuk membantu Tom bernafas.

Aku dan abangku saling berpandangan.Hanya kami berempat di dalam bilik bedah itu. Aku, abangku (bapa angkat Miko), doktor dan pembantunya. Lidah Tom yang terjelir tampak kebiruan. Miko menyorok di balik tong sampah yang ada di dalam bilik itu.Sangat ketakutan.Matanya membundar dan duduk diam-diam di situ tanpa bergerak walau seinci pun.

Sebelum itu, suhu badan Tom sudah tiga kali dipantau. Turun naik  suhunya.Tidak menentu. Mungkin ketakutan untuk dibedah.

Rasa risau menjengah tingkap hatiku. Cemas. Ya Allah, perlukah aku meneruskan pembedahan Miko hari ini??

Pemilik kucing yang bernama Tom itu bergegas masuk ke bilik bedah.Mendung anak matanya.Bercampur keresahan hati.

"Tom, bangun Tom... Mak datang ni... Mak ada ni.... Bangun Tom..." Rayunya.

Tom mula bernafas. Turun naik dadanya.Perlahan. Kemudian terhenti.

Kak Norhayati berterusan merayu. Mengalir air matanya bercucuran laksana titisan embun yang membasahi kelopak daun keladi.

"Tom, bangun Tom... nafas kuat sikit.... Lepas ni kita balik... nanti mak bagi makan , mak bagi  minum.... bangun Tom..." 

Naluri perempuanku tak tertahan lagi. Berlinang juga air mataku... Bagaikan berada di wad pediatrik serasanya. Episod ini seperti  kasih  antara ibu dan anak.

Air mata Kak Norhayati  mengalir lagi.Mengalir bersama doa yang kutitip dalam sungai hatiku . Moga Allah panjangkan umur Tom.

Sungguh, Dia yang Maha berkuasa!Tom terus bernafas walaupun  perlahan dan nampak payah. 'Emaknya' diminta terus menemani Tom sehingga dia kembali sedar dan stabil.

Hari ini... aku terasa hidupku makin berwarna-warni. Indah sungguh kasih sayang yang Allah ciptakan. 

Selepas keadaan stabil dan terkawal, aku melihat Kak Norhayati dan 'anaknya' keluar dari bilik pembedahan.Mata Tom dan 'emaknya' begitu bercahaya. Seolah-olah dunia ini terang dengan sinaran kasih sayang yang sukar diungkap dengan kata-kata!




♥ Terima Kasih Kerana Sudi Singgah Sini ! Suka? Like tau ! ♥

Ahad, 18 September 2011

Rumah Terbuka vs Rumah Tertutup

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته....
Salam sejahtera buat semua...

Wah-wah.. sibuk beraya lagi kita minggu ni. Hari ini sahaja, empat buah rumah telah kami sekeluarga kunjungi. Dua jemputan  di Kajang , di Bukit Mahkota dan Bukit Antarabangsa.Memenuhi jemputan Rumah Terbuka. Tetapi, tahun ini saya sendiri tidak membuat acara Rumah Terbuka. Saya hanya menjemput tiga atau empat keluarga datang bertandang dalam satu-satu masa sahaja.   Kenapa ya? Saya melihat dengan membuat acara Rumah Terbuka   mahupun Rumah Tertutup  ini ada kebaikannya yang tersendiri. Antara kebaikannya Rumah Terbuka ialah:
  1. Semua kenalan, sahabat-handai dan saudara-mara dapat berkumpul dalam satu masa- dapat mengerat dan meluaskan ukhuwah antara satu sama lain.
  2. Kita penat menyediakan makanan dan melayan tetamu sekali harung. Penat mengemas rumah juga berlaku sekali harung.
  3. Dapat keluar beraya ke rumah teman/saudara-mara bila-bila masa setelah mengadakan Open House di rumah sendiri.Ini kerana, semua teman dan saudara-mara telah berkunjung ke rumah kita sebelum itu.
Manakala kebaikan Rumah Tertutup pula ialah:
  1. Kita dapat berbual dan melayan bersama tetamu dengan lebih mesra .Oleh kerana jumlah tetamu yang terhad, kita dapat meluangkan masa bersama-sama dan menikmati juadah dengan mereka.
  2. Kurang sikit penat memasak memandangkan kita memasak dalam kuantiti yang sedikit. 
Memandangkan  kesukaan saya ialah beramah -tamah , maka suami bersetuju untuk mengadakan konsep Close House untuk tahun ini....Dapatlah saya berbual-bual dengan teman dan saudara-mara serta jiran tetangga  sesedap rasa.... Maklumlah, kesibukan kerja  rutin harian yang membataskan kemesraan....Dan memandangkan kami baru      'berumahtangga', periuk belanga pun belum 'membesar', maka mudahlah saya memasak kuantiti sedikit dengan menggunakan periuk dengan saiz yang sedia ada....  :)

Minggu lepas, saya menjemput 10 orang teman sekerja beraya di rumah.. Disebabkan rumah saya jauh nun di puncak, maka saya mengadakan Rumah Tertutup pada malam Jumaat hari bekerja dengan pakej 2 dalam 1. Beraya dan bermalam.... Tetapi pakej ini sah untuk kawan perempuan sahaja.. yang bujang dan sudah berumahtangga pulang selepas tamat acara.Memang seronok, puas dan sangat meriah walaupun dibuat secara kecil-kecilan....

Teman sekerja ibarat keluarga...


Kaum bapa turut dapat berbual mesra sesama mereka


Sempat lagi bermesyuarat hal sekolah...

Demikianlah  kegembiraan saya apabila membuat Rumah Tertutup... Yang penting semua tetamu kenyang dan tak serik berkunjung ke rumah saya lagi..... Selamat Aidilfitri!!

Nota kaki: Terbuka atau tertutup pilihan masing-masing, yang pasti matlamatnya eratkan   
                ukhuwah...Tak gitu cik jah?? ;)

♥ Terima Kasih Kerana Sudi Singgah Sini ! Suka? Like tau ! ♥

Jumaat, 16 September 2011

Kenapa Jadi Guru Cemerlang?

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته...
Salam sejahtera buat semua...

" Maryati dah berapa lama mengajar?" Tanya seorang guru senior.
" Tahun ni masuk tahun yang ke sembilan kak..." Jawabku sopan.
" Dapat GC bila? Mohon bila? Berapa umur sekarang?" Tanyanya bertubi-tubi.
" Dapat tahun 2010.. Mohon tahun 2009...umur 33..."  
  Dia mencongak.
" Wah, untunglah orang muda sekarang. Baru lapan tahun mengajar dah naik 44.Kita dah berbelas-belas tahun kerja baru dapat naik 44.... " Nadanya separuh   sahaja. Aku hanya tersenyum nipis dan mengucapkan Alhamdulillah.....

~*~*~*~*~*~
Ketika mula-mula mengajar dahulu, saya tidak pernah bercita-cita untuk menjadi seorang Guru Cemerlang (GC). Malah saya sendiri tidak ambil pusing tentang jawatan itu. Bagi saya, menjadi guru sudah cukup mencabar dan selalu tak menang tangan.Apatah lagi kalau mahu menjadi seorang GC.Tentu-tentulah keadaan akan menjadi lebih rumit....

Masa berlalu... hatipun berubah....

Sejak dilantik menjadi Jurulatih Utama (JU) Pendidikan Islam oleh JPNWPKL pada tahun 2007, saya banyak terlibat dengan kursus dan mesyuarat di peringkat kebangsaan. Kebanyakan peserta yang terlibat terdiri daripada senior-senior yang hebat, termasuklah pengetua, penolong kanan, Guru-Guru Cemerlang dan JU dari serata negeri.Sepanjang tempoh itu, saya mula terfikir dan membuat pemerhatian. Berikut adalah hasil pemerhatian saya yang mungkin boleh dikongsikan bersama:

Saya mendapati guru boleh dikategorikan kepada 4 kumpulan iaitu:-
  1. Guru zon selesa, iaitu suka mengajar, gaji cukup, tak kuasa nak pening-pening kepala sangat , pendek kata redha dan puas hati dengan pencapaian sekarang dan bersyukur seadanya
  2. Guru dewasa, maksudnya tak berapa suka mengajar budak-budak sekolah, sama ada menengah atau rendah. Tapi bercita-cita nak jadi pensyarah.
  3. Guru 'pejabat', iaitu tidak suka mengajar tapi suka buat kerja-kerja pentadbiran.
  4. Guru berkobar-kobar, iaitu guru yang suka sangat menjadi guru. Suka mengajar, suka budak-budak, suka buat modul, suka buat program... pendek kata, hal-hal PnP dan hal-hal sekolah memang dia teramatlah suka walaupun banyak cabaran, dia redah juga walau banyak dugaan..
 Maka, saya simpulkan hasil pemerhatian ini:-
  1. Kumpulan guru pertama, mereka  memikul amanah dan tanggungjawab negara dalan dunia pendidikan. Mereka punya hak sendiri untuk mengekalkan zon itu. Jadi, tiada masalah  di sini.
  2. Manakala bagi kumpulan guru dewasa, mereka perlu melanjutkan pelajaran jika bercita-cita untuk menjadi pensyarah. Sepanjang tempoh itu, mereka perlu menunjukkan prestasi cemerlang di sekolah jika mahu memohon biasiswa dan bergaji penuh. LNPT bagi tiga tahun berturut-turt hendaklah mencapai 85% ke atas jika ingin memohon biasiswa.
  3. Sesiapa yang termasuk dalam kumpulan guru pejabat,  pada setiap masa, mereka perlu melaksanakan semua tugasan yang diberikan oleh pihak pentadbir dengan efisyen dan cemerlang. Menunjukkan (bukan menunjuk-nunjuk) sifat kepimpinan yang tinggi dan profesional sewaktu bertugas. Ini kerana, apabila satu-satu jawatan hendak diisi, seperti Ketua Panitia, Ketua Bidang dan seumpamanya ,pentadbir akan cenderung memilih guru yang berpotensi ke arah itu.Bermula dari bawah, kerana tiada guru biasa akan terus melompat menjadi Penolong Kanan mahupun Pengetua.
  4. Yang terakhir, jika guru  benar-benar CINTA dengan sekolah,   mohonlah menjadi Guru Cemerlang.  Kepuasan mendidik dan menjadi GC akan menolak  kumpulan ini untuk terus ke arah kecemerlangan seterusnya akan menyinarkan lagi arena  pendidikan dalam mendidik anak bangsa.Kobaran yang beserta dengan minat dan kesungguhan  itu   akan berbaloi kerana GC ada ada peluang kenaikan pangkat yang dipanggil sebagai fast track.Dapatkan informasi lanjut tentang GC melalui laman sesawang Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti supaya anda faham dan jelas mengapa jawatan ini diwujudkan.
Semua guru mempunyai potensi dan rezeki masing-masing. Hanya kita yang tahu apa yang kita mahu. Oleh yang demikian, pastikan ke mana hala tuju kita dalam kerjaya dan jadikan kejayaan orang lain sebagai  dendam positif yang menyemarakkan semangat untuk kita memajukan diri.

Bersama Ustazah Ramlah (GC Terengganu) dan Ustazah Aishah (GC Selangor)

nota kaki: ... jauhi dendam kesumat yang boleh membinasakan diri...





♥ Terima Kasih Kerana Sudi Singgah Sini ! Suka? Like tau ! ♥

Selasa, 13 September 2011

Pergi yang Takkan Kembali...

السلام عليكم و رحمة الله وبركاته...
Salam sejahtera buat semua...

Minggu ini, aku menghadiri Masyuarat Kawal Mutu Buku Panduan Amali Pendidikan Islam Tingkatan 1 KSSM  di Temerloh, Pahang.  Jauh. Walaupun berat meninggalkan anak dan suami di rumah,juga anak didik di sekolah,  aku gagahkan juga langkah ini memandangkan inilah secebis usaha yang dapat  kusumbangkan untuk kurikulum pendidikan negara. 



Ucapan alu-aluan Tn. Hj. Zamri b. Abdul Rahim selaku Ketua Unit Pendidikan Islam Menengah membuatkan aku insaf . Ceritanya, malam tadi, seorang Guru Cemerlang yang mengajar di sebuah sekolah rendah telah kembali ke rahmatullah kerana sakit kanser. Beliau masih bernafas sehingga semalam walaupun doktor pernah meramal yang beliau akan 'pergi'  pada tahun 1991. Namun, kuasa Allah SWT, selepas 10 tahun, baharulah beliau kembali....Innalillahi wa inna ilaihi rajiun...

Apa yang menarik untuk dikongsikan di sini ialah, Allahyarhamah Ustazah Rashidah ini ingin mati dalam pendidikan. Mudah kata, beliau rela meninggal dunia di dalam kelas ataupun  ketika bertugas. Walaupun sedang bertarung dengan kesakitan, beliau tetap menghadiri mesyuarat-mesyuarat penting peringkat kebangsaan dan tetap ke sekolah untuk mengajar. Hasratnya dimakbulkan Allah SWT.

Aku jadi berdebar. 
  • Bilakah aku akan mati? 
  • Di manakah aku ketika itu?
  • Baikkah amalanku? 
  • Cukupkah bekalanku?
Aku semakin berdebar. أستغفر الله العظيم
Pergi yang takkan kembali. Bersediakah aku??
Ampuni dosa-dosaku ya Allah.....Sesungguhnya, Kau Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani!





♥ Terima Kasih Kerana Sudi Singgah Sini ! Suka? Like tau ! ♥

Jumaat, 9 September 2011

Teruskan Latih Tubi ???

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته...
Salam sejahtera buat semua...

Keberkatan Ramadhan diserikan lagi dengan kemeriahan Syawal. Namun, sedar tak sedar, sebenarnya sepanjang Ramadhan ,kita banyak melakukan latih tubi sebagai makanan rohani.Antaranya ialah:
  • Puasa, yang bukan sahaja menahan lapar dan dahaga, malah mengekang nafsu... 
  • Solat sunat.. Tarawih, Qiammullail
  • Melazimkan solat berjemaah di surau atau di masjid
  • Membaca Al-Quran setiap hari
  • Berzikir sepanjang masa
  • Menambah ilmu, melalui medium pelbagai... membaca buku, mendengar radio siri agama, menonton rancangan keagamaan dan mendengar tazkirah di surau/masjid
  • Bangun awal pagi, jam 5 untuk bersahur (terus dapat solat tahajud)
  • Mengurangkan hiburan
  • Banyak bersedekah
  • Beribadah bersungguh-sungguh pada 10 malam terakhir Ramadhan
  • Menunaikan zakat fitrah
Mudah-mudahan dapatlah kita meneruskan rutin sebulan Ramadhan yang lalu sebagai didikan kepada jiwa sebagai hamba yang menumpang...

Walaupun tidak mampu mengekalkan semua, marilah kita cuba istiqamah meneruskan satu-satu amalan mengikut kemampuan.. Selepas itu, apabila kekuatan bertambah, kita teruskan lagi dengan amalan yang lain… Insya-Allah,apabila kita membiasakan diri dengan amalan yang baik, malah menjadi makanan rohani pula sudah pastilah keperluan hidup akan seimbang antara jiwa,jasad dan jasmani

Keseimbangan hidup, akan membuahkan ketenangan.Alangkah indahnya andai  ketenangan bertakhta di sanubari....Mari beramal!

 Nota kaki: Sumber daripada Majalah Solusi Isu 34

♥ Terima Kasih Kerana Sudi Singgah Sini ! Suka? Like tau ! ♥