Ahad, 28 Ogos 2011

Penangan Guru Praktikal

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته....
Salam sejahtera buat semua .....

Hari terakhir persekolahan sebelum cuti Aidilfitri, aku menjemput  Mawaddah pulang dari sekolah. Biasanya dia akan pulang  dengan menaiki van sekolah.

Sepanjang  perjalanan ke rumah nendanya di Cheras, dia hanya berdiam diri sahaja. Apabila aku menyoal, dia hanya menyatakan yang dia berasa sedih.

“Kenapa sedih?”Aku menanya soalan terbuka.

“Sedih sebab hari ni cikgu patriotik dah hari terakhir di sekolah Mawaddah…”

Aku berasa hairan, siapa cikgu patriotik?

“Lapan orang pulak tu ummi.. Lepas ni cikgu patriotik dah tak mengajar di sekolah Mawaddah lagi….”Sambungnya sarat kecewa.

Ish, pelik juga hatiku. Takkan cikgu yang mengendalikan program Bulan Patriotisme di sekolahnya seramai  lapan orang itu akan berpindah?!Pelik bin ajaib.

Tak semena-mena , terluncur di mulutku." Oh.. cikgu praktikal ya??”

“Ha-a, cikgu apa mi?”Aku tercuit. Praktikal jadi patriotik. Geli hatiku.

“Praktikal….” Sahutku. “Cikgu praktikal tu kan, semuanya baik-baik. Pandai mengajar, sayang murid-murid…. Mawaddah nak diorang mengajar terus di sekolah Mawaddah…..” Jelasnya mengharap.

“Siapa nama cikgu –cikgu tu? Ada minta no telefon? Kenapa tak bagitahu ummi, boleh kita beli hadiah….” Tanyaku bertubi-tubi.

“Mawaddah tak minta nombor telefon… Ustazah Sakinah, Ustazah Qistina Mawaddah, Cikgu Asyraf dan Cikgu Safwan. Mawaddah sayang semuanya. Lagi empat tak ingat sebab tak ajar Mawaddah.”Katanya satu-satu.

Aku menoleh ke arahnya sebentar. Kulihat air mata mengalir membasahi puing-puing pipinya yang halus itu. Arghhhh…. Penangan cikgu praktikal. Muda-muda, baik hati dan penyayang. Teringat zaman aku praktikal suatu masa dahulu. Begitulah.

Anak kecil juga punya rasa sedih apabila kehilangan....


“Habis tu, cikgu-cikgu yang 'tak praktikal' tu tak baik, ke?Tak sayang murid ke?” Aku mengumpan.

“Ada yang baik, tapi ada yang garang….” Omelnya.

Lucu seketika, namun kutahan di dada. Benar dah tepat, cikgu yang 'tak praktikal' seperti aku ini, juga garang seperti omelannya tadi. Ketawaku  berbuai-buai  namun di dalam hati cuma.Perasaannya saat itu aku hormati.Walau sebagai anak kecil, perasaan juga ada Allah titipkan  padanya. Arghhhh…. Penangan cikgu praktikal. Muda-muda, baik hati dan penyayang. Teringat zaman aku praktikal suatu masa dahulu. Begitulah.

“Cikgu-cikgu tu, belum habis belajar, Mawaddah… Lepas ni mereka akan balik semula ke Maktab Perguruan untuk tamatkan pelajaran. Kalau lulus cemerlang , baharulah akan dapat sijil dan mengajar jadi cikgu betul macam ummi…Mawaddah berdoalah semoga nanti cikgu-cikgu tu akan mengajar di sekolah Mawaddah…”Aku memujuk, menyejuk hatinya yang hiba…

“Oh, kalau dah habis belajar,baru jadi cikgu betul macam ummi, dan jadi garang ke..?”

Aku tersengih,namun cepat-cepat membetulkan keadaan. “Garang yang kena tempat… kalau murid nakal dan malas belajar, tentulah cikgu garang… kalau murid yang baik macam Mawaddah, tentulah cikgu sayang dan tak garang…”

Dia diam dan merenung jauh ke hadapan. Bundar matanya yang membasah. “Cikgu praktikal tu kan, semuanya baik-baik. Pandai mengajar, sayang murid-murid…. Mawaddah nak diorang mengajar terus di sekolah Mawaddah…..”Dia mengulang kata-kata yang sama.

Arghhhh…. Penangan cikgu praktikal. Muda-muda, baik hati dan penyayang. Teringat zaman aku praktikal suatu masa dahulu. Begitulah.Dan masa pun terus berlalu…..


 Nota kaki: ...garang tapi sayang.. rencah rutin kerjaya seorang guru..



♥ Terima Kasih Kerana Sudi Singgah Sini ! Suka? Like tau ! ♥

Jumaat, 26 Ogos 2011

Selamat Hari Lebaran....

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته....
Salam sejahtera buat semua...

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua teman-teman pengunjung setia blog saya ini.....Maaf Zahir Batin andai ada yang tercoret selama ini membuat hati kalian terguris tanpa sengaja...Semua yang baik datangnya daripada Allah dan yang buruk itu adalah kelemahan diri saya sendiri.Semoga kebahagiaan dan kegembiraan sentiasa menyelubungi hari-hari kita seterusnya.... Hati-hati di jalan raya, selamat sampai semuanya....

Insya-Allah ada waktu dan panjang umur, saya akan terus menulis banyak lagi kisah-kisah yang berkisar dengan puing-puing kehidupan... Teruskan sokongan anda dengan menekan butang funny, atau interesting atau cool.... Jumpa lagi!!


♥ Terima Kasih Kerana Sudi Singgah Sini ! Suka? Like tau ! ♥

Selasa, 23 Ogos 2011

Pecutan Penghujung Ramadhan

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته....
Salam sejahtera buat semua...

Ramadhan kian berlalu.Syawal kian dirasai.Hari kemenangan. Mengawal nafsu dan tuntutan dunia yang fana, dalam siri latih tubi Ramadhan, bisa sahaja menjadikan diri kita mukmin kental yang tahan cubaan.

Masa terus berputar, buku amalan terus dicatat, kehidupan tetap diteruskan hingga ke saat kematian. Masa kita, buku amalan kita, kehidupan kita, kitalah pencoraknya.

Teman-teman pengunjung setia, iman itu input, Islam itu proses dan ihsan itu output.Pastikan input, proses dan output itu serasi dalam jiwa kita sebagai hamba lantas makmurlah dunia dengan segala kebaikan.

Berbuat kebaikan dengan cara yang pelbagai, mengikut kemampuan dan kreativiti masing-masing.Apa yang kita lakukan, pasti dipersoal. Gerun hati ini mengenangkan apakah setiap gerak laku itu ada jawapan yang mendapat markah penuh di sisi Allah.

Pecutan terakhir, mari bersama-sama kita lancarkan. Soal lailatul qadar sama ada sudah berlalu atau  belum, kita serahkan kepada Allah yang mencipta. Ingat, 10 Ramadhan terakhir fasa pengampunan , tidak  terhenti setelah hadirnya Lailatul Qadar.... Wallahu a'lam...



♥ Terima Kasih Kerana Sudi Singgah Sini ! Suka? Like tau ! ♥

Ahad, 21 Ogos 2011

'Seorang' Kucing yang bernama Miko (2)...

السلا م عليكم ورحمة الله وبركاته...
Salam sejahtera buat semua...

Minggu lalu, bonda berkunjung ke rumahku. Memandangkan tiada sesiapa di rumah, maka aku bawa sekali Miko dan anaknya Milo ke rumahku.Milo cedera setelah digigit kucing jantan, sementara Miki telah meninggal kerana cedera parah akibat kucing jantan yang tak berhati perut itu. Mika? Aku tinggalkan dia sendirian, mudah-mudahan abangku pulang untuk memberinya makan.


Mika dan adiknya Milo......

Miko terasa asing di rumahku. Kali pertama, tempat baharu, memanglah janggal. Milo demam. Aku pastikan dia minum susu secukupnya dan mengurut-urut kakinya yang sakit. Lemah sahaja tubuhnya yang baharu 3 minggu itu. 

Keesokan paginya, aku lihat Miko tiada. Berdebar jantungku. Ke mana pula Miko pergi. Anaknya masih dalam sangkar. Kupanggil-panggil , tetap tidak bersahut. Aku berdoa di dalam hati, semoga Allah pelihara walau di mana sahaja Miko berada.

Waktu Dhuha, aku memandu ke lorong demi lorong, perlahan-lahan. Mataku memerhati setiap ceruk jalan yang terjangkau dek mata hati, mudah-mudahan ada Miko di situ. Namun, hampa.Hatiku di serang kabus kerisauan. Arghhhh.. Ke mana sahaja kamu Miko??

Ketika memasak untuk berbuka puasa, bonda terdengar suara kucing. "Miko.. Miko...." Meowwww Meowww... " Lantas aku bergegas ke belakang rumah. Rupa-rupanya Miko berada di bumbung belakang rumah jiranku yang  belum berpenghuni.Dia masuk melalui tingkap hadapan yang terbuka. Tahmidku di sanubari tiada berhenti.

Miko tidak mahu lompat.Ketinggian membuatkannya gerun. Tiba-tiba hujan lebat . Kasihan Miko. Aku menghubungi jiran.Dia berada di luar pula,lepas berbuka baru kembali. Aku tawakal. Bersabarlah Miko. Sementara itu aku memberi Milo susu botol. 

Jiran yang baik hati , Noreen, mengajakku ke rumahnya. Tetapi usaha itu gagal kerana badan Miko yang gemuk itu tidak melepasi gril tingkap rumahnya. Aku mengusap-usap Miko. Sudah hampir 24 jam Miko berpuasa. Tanpa makanan dan minuman. Sedih hatiku.

Noreen menelefon jiran sebelahnya.Terus kami ke rumahnya. Tanpa mengira apa bangsa, demi misi menyelamatkan Miko, cikgu India itu ramah menyambut kami . Akhirnya... berjaya juga Miko kembali ke pangkuanku... Syukur ya Allah. 

Aku terus membawanya pulang . Setibanya di rumah, aku hidangkan makanan dan minuman untuknya. Tetapi..... Miko terus mencari anaknya dan menjilat-jilat si Milo  tanpa menjamah apa-apa. Bayangkan, setelah 24 jam dia terperangkap tanpa makanan, seorang kucing yang tiada akal, mencari anak dan bukannya makanan! Subhanallah.... terpintas di fikiran, hanya seekor manusia yang sanggup membuang bayinya merata-rata!!!!

Aku jadi insaf. Kasih-sayang itu, Allah bekalkan buat semua mahkluk. Kasih sayang yang mengikut agama, dapatlah pahala. Begitulah sebaliknya, kasih sayang mengikut nafsu, fikiran melulu.Neraka balasannya.... Anak bunuh ibu, anak bunuh bapa. Bapa simbah asid, suami bunuh isteri. Kekasih bunuh kekasih. Ya Allah... bumi ini,  dunia apakah kini???

Ketuk-ketuk minda di bulan Ramadhan ini, adakah kita ini seorang manusia atau seekor manusia ??







♥ Terima Kasih Kerana Sudi Singgah Sini ! Suka? Like tau ! ♥

Jumaat, 19 Ogos 2011

Program Mari Mengaji 2


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته....
Salam sejahtera buat semua...

Hari-hari di sekolah semakin membuatkan hatiku nyaman, walau hakikatnya berdepan dengan kesibukan yang tiada noktah. Momentum Ramadhan aku seiringkan dengan sabar dan tekad. Buat sedaya mampu, seoptimum boleh.

Program Mari Mengaji yang dirancang mendapat sambutan . 50 murid terlibat secara aktif, mengejar aku dan teman seperjuangan ,Ustazah Rosniati (sesi pagi) setiap hari. Malah ,guru-guru pun mula menunjukkan minat.

"Kak, saya nak mengaji...Bila akak free? " Cikgu Rini bertanya.

"Saya pun nak ngaji jugak..." Cikgu Lin mencelah.

"Kak Maria, saya free jam 4.00. Boleh mengaji tak?" Tanya yang lain.

" Bolehlah aku nak mengaji.. Yasin ek!" Sela teman rapat.


Bukan setakat guru, kerani sekolahpun turut mahu mengaji denganku.Anak-anak cikgu yang transit di sekolah , aku tarik sama mengaji Iqra'. Syukur alhamdulillah..

Ada juga guru lelaki yang malu-malu, tapi ku 'paksa rela' mereka membaca Al-Quran. Walaupun sekolahku sekolah lelaki, tetapi kami  tiada ustaz untuk membimbing... 


Setiap kali aku mendengar bacaan rakan-rakan guru, hatiku bertambah nyaman.Seorang guru Bahasa Inggeris , yang agak moden kukira, juga mampu membaca Al-Quran dengan baik. Boleh dikatakan hampir semua rakan guru di sekolahku mahir membaca Al-Quran. Ilmu dunia dan ilmu akhirat, seimbang. Terasa hatiku bagai disiram salju yang mendamaikan.

 Selain memberi manfaat sesama insan, silaturrahim  antara kami sebagai  rakan sejawat semakin akrab. Masing-masing punya kemahiran dan potensi. Saling menghormati dan menyayangi.

Ramadhanku terasa indah. Semakin indah apabila ada insan budiman yang mahu menaja hadiah untuk peserta guru Program Mari Mengaji. Syukurku berpanjangan......









♥ Terima Kasih Kerana Sudi Singgah Sini ! Suka? Like tau ! ♥

Isnin, 15 Ogos 2011

'Seorang' Kucing yang Bernama Miko...

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته....
Salam sejahtera buat semua....

Miko, aku bela sejak umurnya seminggu. Anak buahku Aiman Hakimi yang menjumpainya, yang kebasahan di tepi longkang ketika hujan lebat. Hati kemanusiaannya membawa Miko pulang. Lalu kakak iparku Noriah yang baik hati  ( http://maryati2you.blogspot.com/2011/06/dia-kakak-iparku.html )  memberikannya kepadaku setelah aku bersedih kerana kematian dua ekor anak kucing, dua bulan sebelumnya.

Aku bawa Miko ke Hospital Veterinar, mendapatkan rawatan dan membelikannya susu tepung yang bermutu tinggi. Bayangkan,hanya  350 gram, harganya RM30!! Kalah susu Mawaddah .Tapi tak mengapalah, asalkan Miko dapat yang terbaik....

Aku beri dia susu botol, lap punggungnya selepas itu untuk memastikan dia kencing dan perutnya tidak kembung.Ilmu itu, doktor veterinar yang ajar kepadaku. Terima kasih, doktor.

Miko minum susu botol.... :)
Setiap kali ke sekolah, pastinya aku akan terfikir tentang Miko. Menelefon abang atau ibuku untuk memastikan Miko sudah diberi susu, sama seperti ketika mula-mula aku melahirkan Mawaddah anakku yang seorang itu.Argh, tidak pernah terfikir yang aku akan mempunyai haiwan peliharaan sendiri!

Lama -kelamaan, Miko semakin sihat dan membesar. Pernah aku membawanya mendapatkan  rawatan di hospital kerana dia cedera setelah bergaduh dengan kucing lain.Kopak juga aku ketika itu, lebih RM60 kena bayar untuk rawatannya.

Setelah aku berpindah ke Kajang, Miko aku tinggalkan di rumah ibu dan dijaga oleh abangku iaitu En. Raime yang kacak lagi beriman, kulantik beliau sebagai bapa angkat Miko. Sehinggalah dua kali Miko bersalin, hanya yang tinggal Mika ( 2 bulan) dan Miki (2 minggu).

Miko (kanan) bersama anaknya Mika...
Apakah seterusnya kisah Miko yang membuatkanku mahu menulis tentang 'Seorang ' Kucing yang Bernama Miko??

Ikuti coretan hatiku seterusnya nanti....

♥ Terima Kasih Kerana Sudi Singgah Sini ! Suka? Like tau ! ♥

Ahad, 14 Ogos 2011

Suhail yang Seorang Itu...

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته...
Salam sejahtera buat semua...

Pada 11 Ogos lalu, bertempat di Pusat Belia Antarabangsa , Bandar Tun Razak KL, aku berkesempatan menghadiri suatu program anjuran Majlis Guru Cemerlang Zon Pudu yang bertajuk Bengkel Kemahiran Bicara Berkesan.

Aku lihat pada kertas tentatif program, penceramahnya  En. Suhail B. Mohd.  Kamaruddin,  masa 8.00 pagi hingga 4.30 petang. Eh, takkan dia seorang sahaja ?? Aku tertanya sendiri.Kita berpuasa, dan penceramah ini akan bercakap selama lebih 5 jam ?!

Tamat slot pertama, aku lega. Kukira keputusan untuk hadir ke bengkel itu adalah keputusan yang tepat.Pada waktu rehat, aku melihat beliau masih bercakap dan melayan soalan-soalan serta respon peserta, beliau tetap bertenaga dan mesra.Almaklumlah, masih belia katakan... :)

Suhail B.Mohd Kamaruddin: Ikon Belia Negara

Sehingga tamat program, kehadiran kekal begitu. Walaupun pada waktu rehat para peserta yang bukan Islam menjamu selera   di luar (kerana makanan tidak disediakan) ,tepat waktu, mereka kembali duduk di dalam bilik seminar itu.  Inilah  kali kedua aku menghadiri program , (yang pertama ceramah Datuk Dr. Fadzilah Kamsah) para peserta setia menadah telinga dan memaku mata sehingga tamat program.

Cara bersalaman turut terkandung makna tersirat

Pemuda ini, umurnya baharu 25 tahun ,berasal dari Kelantan  dan sedang menunggu kelahiran cahaya mata sulung.Ikon Belia Negara 2011 dan penerima emas Anugerah Belia Antarabangsa London ini benar-benar membuatkan hari yang kulalui sarat dengan ilmu dan kepuasan.Sangat berbaloi!

 Dalam ceramahnya, beliau banyak bersandarkan kepada fakta  nas dalil aqli dan naqli. Alang-alang berbicara katanya, biar bermakna dan memberi impak yang besar kepada pendengar.Bercakap sedikit, tetapi menusuk jiwa. Bercakap sedikit, tetapi memotivasi jati diri.

Bukan itu sahaja, beliau juga menunjukkan  cara berjalan, berdiri dan duduk yang tepat apabila kita hadir ke majlis-majlis tertentu. Pakaian , air muka dan pandangan mata tidak terkecuali. Cara memegang mikrofon, gerakan tangan dan segala-galanya tentang berbicara.Aduh, dari hujung rambut hingga ke hujung kaki semuanya harus diteliti!

Duduk kena tegak dan tangan diletak atas paha

Inilah pertama kali aku melihat penceramah hanya bercakap tanpa bantuan slide power point. Beliau hanya merujuk kepada nota yang menjadi  bahan edaran peserta dan menunjukkan video berkaitan sebagai selingan yang bersesuaian.Aku kira , hampir 95% penyampaian isi adalah tertumpu daripada kekuatan dirinya sendiri. Malah, penyampaiannya yang sempurna dengan 1001 macam cara, gaya bahasa dan nada suara serta  gerak bahasa badan memang membuatkan para peserta tidak mahu tertinggal walau sepatah perkataan .Maka, tajuk ceramah iaitu Kemahiran Bicara Berkesan memang sangat bertepatan dengan penyampainya. Tahniah En. Suhail!!

Pengalaman beliau melawat ke negara asing seperti Jepun, London, Myanmar dan sebagainya menjadikan dirinya seorang yang berpengetahuan luas dan lebih matang dari usianya yang sebenar. Jikalau semua belia di luar sana dapat menjejaki langkah-langkah Ikon Belia Negara ini, sudah pastinya negara akan berlapang dada dan terus memecut  pembangunan yang sempurna dengan kehebatan sahsiah pemuda-pemudi.
Merakam kenangan bersejarah bersama Ikon Belia Negara 2011

Sekira anda dijemput menghadiri program dan nama En. Suhail b. Mohd Kamaruddin tertera di situ, usahlah berfikir dua kali. Hadirlah kerana tidak ada penceramah muda  seperti Suhail yang seorang itu!!

♥ Terima Kasih Kerana Sudi Singgah Sini ! Suka? Like tau ! ♥

Selasa, 9 Ogos 2011

Program Mari Mengaji

السلام عليكم ورحمة ألله وبركاته...
Salam sejahtera buat semua...

Seperti biasa, setiap kali hadirnya bulan Ramadhan pastinya Panitia Pendidikan Islam sibuk menganjurkan pelbagai program Ihya' Ramadhan. Aku tidak terkecuali.Oleh kerana bilangan murid Islam yang sedikit di sekolahku, kami tidak dapat mengadakan Majlis Tadarus  dan Khatam Al-Quran. Namun, aku tetap mahu menyuburkan semangat cintakan Al-Quran di hati murid-muridku ini....Maka tercetuslah idea untuk mengadakan Program Mari Mengaji.

Kaedah pelaksanaannya mudah sahaja. Murid yang menjadi peserta akan membaca sama ada Al-Quran ataupun Iqra' mengikut tahap masing-masing. Aku pula bertindak sebagai penyemak bacaan mereka. Aku menjalankan program ini setiap hari, pada waktu rehat. Sama ada di surau atau di Bilik Media, aktiviti ini tetap berjalan.Daripada mereka melepak tak tentu hala, ada baiknya juga masa rehat mereka terisi dengan amal ibadat. Adakalanya aku menggunakan masa relief dan waktu PJK.

Generasi masa hadapan: Kitalah pencoraknya!

Pada minggu terakhir Ramadhan nanti, para peserta akan diberikan sedikit cenderahati sebagai tanda penghargaan pihak panitia buat mereka. Yang menariknya, para guru juga turut melibatkan diri dalam program kali ini. 

Walaupun tidak setanding Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran seperti di sekolah -sekolah yang lain, aku berharap melalui aktiviti ini dapat menimbulkan rasa cinta  murid terhadap mukjizat agung ini. Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua murid ustazah dan rakan guru yang menyokong usaha murni ini.

Aku berhasrat untuk meneruskan program ini sehinggalah jasad dikandung tanah.....Insya-Allah.

Semoga Al-Quran akan menyinari hidup kita di dunia dan di akhirat kelak. Amin.....


♥ Terima Kasih Kerana Sudi Singgah Sini ! Suka? Like tau ! ♥